Sorting by

×

KOPERASI MELAKA DIDEDAHKAN KEPADA AI, TIKTOK SHOP MENERUSI SEMINAR E-COMMERCE

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Kerajaan Negeri menganjurkan Seminar E-Commerce Gerakan Koperasi Negeri Melaka Tahun 2026 yang dilaksanakan pada bulan ini sebagai usaha mempercepatkan transformasi digital gerakan koperasi di negeri ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata seminar itu bertujuan memberi pendedahan kepada para koperator mengenai penggunaan platform digital dan teknologi terkini bagi meningkatkan daya saing perniagaan.

Menurut beliau, antara pengisian seminar termasuk penggunaan TikTok Shop, pemasaran media sosial, kecerdasan buatan (AI) serta strategi e-dagang bagi membantu koperasi memperkukuh keupayaan pemasaran dan meluaskan akses pasaran.

“Seminar ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan adaptasi koperasi terhadap ekonomi digital, sekali gus membantu mereka meningkatkan daya saing dalam landskap perniagaan yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Allex berkata Kerajaan Negeri bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan pengukuhan tadbir urus koperasi menerusi pelaksanaan program latihan, bimbingan serta khidmat nasihat secara berterusan.

Katanya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kompetensi anggota lembaga dan pengurusan koperasi dalam aspek tadbir urus, pengurusan kewangan, pemasaran, inovasi perniagaan serta transformasi digital.

“Usaha ini penting supaya koperasi bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, malah dapat memanfaatkan platform digital untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post WRUR MERLIMAU: MAIM UKIR SENYUMAN DI WAJAH ASNAF