
MELAKA TAWAR KEMASUKAN PERCUMA PRODUK PELANCONGAN PADA 31 OGOS
SERI NEGERI 15 Julai – Rakyat Malaysia dipelawa untuk bersama-sama hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Melaka dan menikmati kemasukan percuma ke produk pelancongan terpilih pada 31 Ogos ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia menikmati pelbagai produk pelancongan negeri secara percuma sambil memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan di Klebang.
“Tawaran kemasukan percuma ini sepatutnya diadakan pada 20 Februari lalu, namun tarikh itu termasuk dalam bulan Ramadan, umat Islam sedang menjalani ibadah puasa. Jadi kita pinda tawaran kemasukan percuma ini pada 31 Ogos nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Razak bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini Melaka menyediakan pelbagai acara menarik bagi menggamit pengunjung dan pelancong domestik atau antarabangsa.
“Kita mulakan dengan Melaka Berselawat, sambutan Ambang Merdeka, perbarisan Hari Kebangsaan yang pastinya akan menarik perhatian ramai apabila turut melibatkan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) jarang dipertontonkan kepada orang awam.
“Ini adalah antara pendekatan Kerajaan Negeri untuk menarik lebih ramai pelancong, lebih-lebih lagi tahun ini sambutan Hari Kebangsaan bersempena cuti hujung minggu yang panjang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


