
DUN MELAKA LULUS USUL LANTIK TIDAK LEBIH TUJUH ADUN LANTIKAN
SERI NEGERI 14 Julai – Dewan Undangan Negeri Melaka, hari ini, meluluskan usul Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi usul itu, Perkara 11 Perlembagaan Negeri, dicadangkan untuk dipinda dengan menambah ahli lantikan yang tidak melebihi tujuh orang.
Namun demikian jelas beliau, keanggotaan Ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih adalah kekal seramai 28 orang mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen no. 5 tahun 2003.
Jelas beliau, pindaan itu dilakukan berdasarkan beberapa faktor, antaranya, memperkukuh representasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), di mana dengan pelantikan Adun lantikan, ia membolehkan individu yang mempunyai kepakaran atau pengalaman dalam bidang tertentu seperti perundangan, ekonomi, pendidikan, pelaburan, teknologi dan pembangunan negeri menyumbang secara langsung kepada proses penggubalan dasar serta perbahasan di Dewan Undangan Negeri.
Selain itu, beliau berkata, pindaan itu juga turut memberi ruang kepada kumpulan yang kurang diwakili dengan meningkatkan penyertaan golongan wanita, belia, Orang Asli, komuniti minoriti, profesional atau wakil sektor industri yang mungkin tidak berjaya melalui proses pilihan raya tetapi mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Selain itu, ia juga mampu meningkatkan kualiti perbahasan dan semak imbang, di mana ahli yang dilantik berdasarkan kepakaran dapat memberi pandangan yang lebih teknikal dan objektif terhadap rang undang-undang, dasar serta isu pentadbiran negeri, sekali gus meningkatkan mutu perbahasan di Dewan Undangan Negeri.
“Pindaan itu juga berupaya menyokong agenda pembangunan negeri dengan Kerajaan negeri dapat memanfaatkan kepakaran individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang strategik bagi membantu merealisasikan dasar pembangunan, menarik pelaburan dan meningkatkan daya saing Melaka.
“Ia juga selaras dengan amalan di beberapa negeri lain yang turut mempunyai peruntukan untuk melantik Adun atau ahli tambahan bagi memperkukuh fungsi legislatif dan memastikan komposisi dewan lebih inklusif. Pelantikan sedemikian adalah sebahagian daripada mekanisme perlembagaan negeri,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap mencadangkan Usul dan Pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Jelas Ketua Menteri, usul Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 dicadang untuk dipinda merangkumi tiga fasal iaitu Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas enakmen yang dicadangkan; Fasal 2 bertujuan untuk meminda Perkara 11 Perlembagaan Negeri Melaka, untuk memasukkan bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik tidak lebih tujuh ahli dan Fasal 3 bertujuan memasukkan Perkara baharu 11A, 11B, dan 11C.
“Di dalam Perkara 11A, ahli yang dilantik hendaklah dilantik atas usul yang disokong oleh sekurang-kurangnya tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri dan diluluskan dengan majoriti mudah dan dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri.
“Tiada seorang pun boleh dilantik menjadi ahli yang dilantik melainkan ia bermastautin di negeri Melaka.
“Seseorang ahli yang dilantik hendaklah mengosongkan kerusi di Dewan Undangan Negeri pada tarikh yang ditetapkan oleh Speaker selepas dia menerima surat peletakan jawatan ahli yang dilantik, pada tarikh apabila suatu resolusi telah diluluskan terhadap ahli yang dilantik itu untuk memecatnya daripada menjadi ahli yang dilantik melalui suatu usul yang disokong oleh sekurang-kurangnya tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri dan diluluskan dengan majoriti mudah, pada tarikh apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau pada tarikh apabila pelantikannya sebagai ahli yang dilantik ditamatkan demi kepentingan awam di bawah Perkara Baharu 11B, yang mana-mana lebih awal,” katanya.
Menurut Ketua Menteri, seorang ahli yang dilantik adalah berhak untuk bercakap dengan mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri dan jawatankuasa yang dilantik sebagai ahli dan untuk mengundi, tertakluk kepada had yang disebut dalam perkara ini.
Pada masa sama, jelas beliau, ahli yang dilantik turut mempunyai dan menikmati apa-apa hak dan keistimewaan yang diperuntukkan kepada ahli yang dipilih, namun tiada seorang pun ahli yang dilantik layak untuk dilantik sebagai Ketua Menteri atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
“Di dalam Perkara Baharu 11B, Yang di-Pertua Negeri boleh, atas nasihat Ketua Menteri, menamatkan pelantikan ahli yang dilantik tanpa ada kewajipan untuk memberikan alasan jika Yang di-Pertua Negeri menganggap bahawa penamatan itu adalah perlu untuk kepentingan negara atau negeri Melaka, demi kepentingan keselamatan negara atau untuk maksud dasar kerajaan atau dasar awam.
“Juga dijelaskan bahawa apa yang merupakan kepentingan negara atau Negeri Melaka, kepentingan keselamatan negara, dasar kerajaan dan dasar awam hendaklah dibuat dan ditentukan secara tunggal oleh Kerajaan Negeri dan penentuan tersebut untuk semua maksud dan tujuan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipertikaikan di mana-mana mahkamah.
“Di dalam Perkara Baharu 11C, dijelaskan bahawa Perkara 12, 13, 14, 15, 17, 18, 21, dan 25 Perlembagaan Negeri adalah terpakai mutatis mutandis (perubahan yang perlu) kepada seseorang ahli yang dilantik,” katanya.
Tambah beliau, Rang Undang-Undang itu akan melibatkan implikasi kewangan dan perbelanjaan tambahan dan amaun sebenar perbelanjaan tersebut yang tidak dapat ditentukan pada masa ini.
Terdahulu, usul itu dibahaskan oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban); Datuk Wira Lim Ban Hong (BN-Klebang) dan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim).
Pada sesi undian, usul itu menerima sokongan majoriti dengan 23 undi bersetuju, manakala lima tidak bersetuju.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


