
ADUN LANTIKAN PERKUKUH DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA, TANGANI CABARAN PENTADBIRAN MODEN
SERI NEGERI 14 Julai – Usul untuk melantik tidak lebih tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan menerusi Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 bertujuan memperkukuh Dewan Undangan Negeri Melaka sebagai sebuah institusi yang lebih inklusif, berpengetahuan dan berkeupayaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pindaan itu bukanlah untuk mengurangkan kuasa rakyat, menggantikan ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih mahupun mewujudkan jalan belakang bagi mendapatkan kuasa dan kedudukan politik, sebaliknya ia penting dalam menangani cabaran pentadbiran moden yang semakin kompleks.
Jelas beliau, bilangan Adun yang diberi mandat oleh rakyat masih kekal 28 orang sebagaimana diperuntukkan, namun kehadiran Adun lantikan bakal menjadi pelengkap kepada komposisi yang sedia ada, khususnya membawa masuk kepakaran, pengalaman dan pandangan daripada bidang-bidang yang diperlukan oleh Negeri Melaka.
“Adun lantikan ini dihadkan tidak lebih daripada tujuh orang, jumlah tersebut merupakan had maksimum bukannya satu kewajipan. Ia bermakna, Kerajaan Negeri boleh mencadangkan seorang, dua orang, tiga orang atau tidak melantik langsung dalam peruntukan yang sedia ada digunakan sebagai Adun lantikan.
“Sekiranya berlaku pelantikan, mereka (Adun lantikan) juga perlu dibawa melalui usul yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Selain itu, Adun lantikan juga tidak boleh dilantik sebagai Ketua Menteri atau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco),” ujar Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, setiap individu yang dicadangkan untuk menjadi Adun lantikan hendaklah mempunyai kelayakan, integriti, pengalaman dan keupayaan yang jelas untuk memberikan sumbangan nyata kepada Negeri Melaka, di mana mereka juga diberi kuasa untuk mengundi.
Tegas beliau, lantikan itu bukanlah sekadar untuk memenuhi kuota, malah lebih utama lagi ia bertujuan memasukkan suara, kepakaran, pengalaman yang dapat meningkatkan mutu perbahasan, memperkukuhkan penggubalan dasar negeri serta memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.
“Saya turut mengambil perhatian khusus terhadap kebimbangan yang dibangkitkan mengenai kuasa mengundi Adun lantikan, proses pelantikan dan penamatan perkhidmatan mereka serta bahasa yang digunakan dalam Perkara Baharu 11B.
“Namun, Kerajaan Negeri tidak akan menutup ruang perbincangan mengenai perkara-perkara tersebut dan saya juga telah meminta supaya penelitian undang-undang yang lebih terperinci dilakukan bagi memastikan pelaksanaan pindaan ini benar-benar selaras dengan prinsip demokrasi berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, kebertanggungjawaban, ketelusan dan kepentingan rakyat,” katanya.
Tambah Ab Rauf, apa jua pindaan peruntukan yang dimasukkan akan diwarisi oleh kerajaan-kerajaan negeri pada masa hadapan.
Justeru, ujar beliau, peruntukan tersebut bukan sahaja sesuai pentadbiran Kerajaan Negeri semasa, tetapi juga selamat, adil dan bertanggungjawab sekiranya kuasa berada di tangan pihak yang lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


