Sorting by

×

MELAKA RUMAHKU BERI MANFAAT 149 KELUARGA MEMERLUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Program Melaka Rumahku (PMR) di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) yang bermula pada 2023 telah membantu 149 keluarga memerlukan di negeri ini mendiami kediaman yang lebih selesa, selamat dan berkualiti.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, sejak 2023 hingga 2026, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5.78 juta bagi pelaksanaan PMR.

Jelas beliau, daripada keseluruhan 292 permohonan yang diterima, sebanyak 149 permohonan telah diluluskan, melibatkan 74 projek bina baharu dengan peruntukan sebanyak RM4.75 juta dan 75 projek baik pulih dengan peruntukan sebanyak RM1.03 juta.

“Pada tahun 2023, PMR telah meluluskan sebanyak 27 projek di daerah Melaka Tengah merangkumi 15 bina baharu dan 12 baik pulih; daerah Alor Gajah 13 projek (5 bina baharu, lapan baik pulihb dan lima projek di daerah Jasin membabitkan bina baharu.

“Tahun 2024 pula menyaksikan sebanyak 1 projek bina baharu di daerah Melaka Tengah; lapan projek merangkumi empat bina baharu dan empat baik pulih di daerah Alor Gajah dan empat bina baharu rumah di daerah Jasin.

“Manakala untuk tahun 2025 pula sebanyak 30 projek (lima bina baharu, 25 baik pulih) diluluskan di daerah Melaka Tengah; 17 projek (tiga bina baharu, 14 baik pulih) di daerah Alor Gajah manakala daerah Jasin membabitkan sembilan bina baharu dan enam baik pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN – Taboh Naning) mengenai bantuan perumahan di negeri ini pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Rais, pada tahun ini pula, setakat ini, sebanyak 33 projek telah diluluskan merangkumi 20 projek di daerah Melaka Tengah, sembilan projek di daerah Alor Gajah dan empat projek di daerah Jasin.

“Program ini bukan sahaja membantu menyediakan kediaman yang lebih selamat dan selesa kepada golongan sasar, malah turut meningkatkan kesejahteraan hidup keluarga yang berpendapatan rendah serta mereka yang terkesan akibat bencana,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

145
Kongsi :
Previous post ADUN LANTIKAN PERKUKUH DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA, TANGANI CABARAN PENTADBIRAN MODEN
Next post PENDAPATAN ISI RUMAH BAWAH RM2,000 LAYAK MOHON BANTUAN BAIK PULIH, BINA BAHARU RUMAH DI MELAKA