Sorting by

×

PENDAPATAN ISI RUMAH BAWAH RM2,000 LAYAK MOHON BANTUAN BAIK PULIH, BINA BAHARU RUMAH DI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Golongan miskin atau miskin tegar dengan pendapatan isi rumah bawah RM2,000 di negeri ini layak untuk memohon bantuan baik pulih atau bina baharu rumah, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata, kadar itu ditetapkan bagi Kerajaan Negeri bagi meluaskan lagi skop penerima bantuan berkenaan, berbanding pendapatan isi rumah di bawah RM1,300 yang ditetapkan di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan setiap pemohon perlulah memiliki tanah sendiri atau diberi kebenaran oleh tuan tanah dan permohonan boleh dibuat kepada wakil rakyat atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum disaring dan diluluskan.

“Program baik pulih dan bina baharu rumah rakyat ini termaktub di bawah tiga skim, di mana dua daripadanya adalah di bawah Kerajaan Persekutuan iaitu Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB), masing-masing di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Selain itu di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), Kerajaan Negeri telah mewujudkan inisiatif Program Melaka Rumahku (PMR) di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM), di mana inisiatif ini menyediakan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi baik pulih dan bina baharu rumah rakyat memerlukan bagi menampung permohonan yang banyak dan membantu rakyat memerlukan.

“Kriteria yang kita tetapkan adalah untuk golongan miskin dna miskin tegar dengan pendapatan isi rumah bawah RM2,000, mesti memiliki tanah atau mendapat kebenaran tuan tanah dan pada masa sama penilaian juga turut merangkumi bilangan anak atau isi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, antara kes terbaharu yang mendapat kelulusan serta-merta menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai membabitkan keluarga nelayan yang mengalami penyakit jantung, selain diuji dengan isteri yang disahkan kanser tahap empat serta memiliki tujuh orang anak.

Jelas beliau, keluarga berkenaan telah dipilih sebagai penerima bantuan baik pulih rumah di bawah PPKB bagi membaik pulih bumbung, namun kediaman mereka masih uzur dan tidak selamat didiami.

“Atas faktor itu, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan bagi bina baharu rumah di bawah PMR bagi memastikan keluarga ini mendiami kediaman yang lebih selesa,” katanya.

Tambah Rais, inisiatif perumahan yang disediakan Kerajaan Negeri juga turut membantu rakyat di negeri ini yang terkesan dengan bencana seperti kebakaran rumah dan sebagainya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Kongsi :
Previous post MELAKA RUMAHKU BERI MANFAAT 149 KELUARGA MEMERLUKAN
Next post RM32.25 JUTA BANTU RAKYAT MELAKA, 1,005 PROJEK BINA BAHARU DAN BAIK PULIH RUMAH DILULUSKAN