Sorting by

×

RM32.25 JUTA BANTU RAKYAT MELAKA, 1,005 PROJEK BINA BAHARU DAN BAIK PULIH RUMAH DILULUSKAN

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Kerajaan Negeri terus meletakkan agenda penyediaan kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti sebagai keutamaan apabila sebanyak 1,005 projek bina baharu dan baik pulih rumah diluluskan menerusi pelbagai inisiatif perumahan di negeri ini sejak tahun 2024 hingga 2026.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, keseluruhan inisiatif itu melibatkan peruntukan melebihi RM32.25 juta hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut beliau, pendekatan bersepadu yang dilaksanakan membolehkan bantuan perumahan disalurkan secara lebih menyeluruh kepada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar di seluruh Melaka.

“Antara agensi utama yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini adalah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menerusi Program Melaka Rumahku (PMR), PBT melalui Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN – Taboh Naning) mengenai permohonan bina baharu dan baik pulih rumah di bawah KKDW bagi DUN Taboh Naning pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Jelas Rais, melalui LPM, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi Program Melaka Rumahku, merangkumi RM3 juta untuk Program Bina Baharu dan RM2 juta lagi bagi Program Baik Pulih Rumah.

“Sehingga 30 Jun 2026, sebanyak RM1.68 juta telah dibelanjakan bagi pelaksanaan Program Bina Baharu, manakala RM151,500 lagi dibelanjakan bagi Program Baik Pulih Rumah,” katanya.

Menurut beliau, bagi tempoh 2025 hingga 2026, PBT melalui Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang menerima peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan sebanyak 333 permohonan baik pulih rumah di bandar melibatkan kos RM6.46 juta serta 20 permohonan bina baharu rumah di bandar dengan kos RM1.8 juta.

Sementara itu, Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah KKDW bagi tempoh 2024 hingga 2026 pula telah meluluskan sebanyak 101 projek bina baharu dan 551 projek baik pulih rumah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM18.99 juta.

“Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dimanfaatkan secara optimum bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan, di samping memastikan pelaksanaan projek bina baharu dan baik pulih rumah dilaksanakan secara teratur, telus dan memberi manfaat terus kepada rakyat di Negeri Melaka.

“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa, selamat dan berkualiti,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post PENDAPATAN ISI RUMAH BAWAH RM2,000 LAYAK MOHON BANTUAN BAIK PULIH, BINA BAHARU RUMAH DI MELAKA
Next post ‘KITA UMPAMA BERNIKAH TIDAK BERKADI, BERCERAI TIDAK BERTALAK, BERSANDING TIDAK BERPELAMIN’