Sorting by

×

‘KITA UMPAMA BERNIKAH TIDAK BERKADI, BERCERAI TIDAK BERTALAK, BERSANDING TIDAK BERPELAMIN’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka akan terus berjalan seperti biasa meskipun terdapat keputusan rakan strategik untuk menarik diri daripada Kerajaan Negeri.

Ia susulan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 bagi pelantikan tidak lebih tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan.

Terdahulu, DUN Melaka meluluskan usul berkenaan dengan undian 23 menyokong, manakala lima lagi tidak menyokong.

Menurut beliau, sebarang pendirian yang diambil oleh mana-mana parti politik perlu dihormati kerana ia dibuat berdasarkan prinsip dan pertimbangan parti masing-masing.

Ketua Menteri bagaimanapun menegaskan, perbezaan pandangan dan keputusan tersebut sama sekali tidak akan dijadikan sebuah permusuhan peribadi, mahupun alasan untuk menyerang mana-mana pihak.

“Sekiranya terdapat sebarang keputusan rasmi berkaitan kedudukan dalam pentadbiran negeri, perkara tersebut akan diuruskan secara tertib, profesional dan mengikut undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pada asalnya, Kerajaan Melaka yang dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tidak membabitkan kerjasama dengan mana-mana parti lain, namun, beliau mengambil pendirian untuk mewujudkan kerjasama selari di peringkat persekutuan dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Jelas berkata, sepanjang tempoh persefahaman itu, pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan secara harmoni dan tanpa sebarang prasangka.

Malah, ujar beliau, semua pihak yang bersama Kerajaan Negeri dapat menilai cara pentadbiran beliau menguruskan kerajaan yang baik demi rakyat, selain turut membuktikan keupayaan memaju serta membangunkan Negeri Melaka.

“Apa pun keputusan dibuat oleh rakan-rakan yang menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan ini dan mengumumkan menarik diri daripada kerajaan, saya tidak boleh menghalang keputusan parti mereka.

“Ini kerana keberadaan mereka bersama kerajaan ini tidak mempunyai satu perjanjian rasmi yang membolehkan ‘harta sepencarian’ dituntut.

“Dalam bahasa mudahnya, kita umpama bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak, bersanding tidak berpelamin,” ujarnya.

Ab Rauf berkata, keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah memastikan urusan pentadbiran, pelaksanaan projek pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

“Apa-apa juga keputusan yang diambil tidak boleh melemahkan mandat rakyat, tidak membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan tidak menjejaskan kestabilan negeri Melaka.

“Matlamatnya jelas, iaitu untuk memperkukuhkan institusi Dewan Undangan Negeri, meningkatkan mutu dasar dan perbahasan serta memberikan manfaat yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

302
Kongsi :
Previous post RM32.25 JUTA BANTU RAKYAT MELAKA, 1,005 PROJEK BINA BAHARU DAN BAIK PULIH RUMAH DILULUSKAN
Next post PH MELAKA KELUAR PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI, BANTAH ADUN LANTIKAN