Sorting by

×

PH MELAKA KELUAR PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI, BANTAH ADUN LANTIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 14 Julai – Pakatan Harapan (PH) Melaka mengumumkan keluar daripada Kerajaan Negeri selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Negeri Melaka 2026 yang memperuntukkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lantikan pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Pengerusi DAP negeri Khoo Poay Tiong berkata, susulan itu kesemua Exco, Timbalan Exco dan Timbalan Speaker DUN akan meletakkan dan mengosongkan jawatan masing-masing.

Tambahnya, semua lantikan politik Kerajaan Negeri termasuk ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mewakili DAP juga akan meletakkan jawatan serta merta.

“Adun DAP tidak meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat, sebaliknya hanya melepaskan jawatan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Mereka akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Adun dan akan mengambil tempat di blok pembangkang pada persidangan DUN.

“Keputusan ini kita telah maklum lebih awal kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebelum RUU dibentangkan,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen dan Timbalan Speaker DUN Kerk Chee Yee.

Poay Tiong turut menafikan keputusan tersebut mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dihadapi dalam masa terdekat, sebaliknya menegaskan ia dibuat semata-mata berdasarkan pendirian parti terhadap pelaksanaan Adun Lantikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post ‘KITA UMPAMA BERNIKAH TIDAK BERKADI, BERCERAI TIDAK BERTALAK, BERSANDING TIDAK BERPELAMIN’
Next post KERAJAAN NEGERI TUNAI AKUJANJI LULUS USUL ADUN LANTIKAN