
MASA MENUNGGU DI KLINIK KESIHATAN MELAKA KINI BERKURANG
SERI NEGERI 15 Julai – Purata masa menunggu di klinik kesihatan negeri ini semakin berkurang dengan pelaksanaan sistem Cloud-Based Clinic Management System atau CCMS.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, sebelum pelaksanaan CCMS, purata masa menunggu adalah sekitar 55 minit dan selepas pelaksanaannya di 10 klinik kesihatan, masa menunggu itu berkurang kepada 32 minit.
Jelas beliau, ia sekali gus menunjukkan pengurangan tempoh masa sebanyak kira-kira 42 peratus.
“Bagi klinik kesihatan yang masih belum menggunakan CCMS, setakat ini purata masa menunggu adalah sekitar 35 hingga 50 minit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) mengenai purata tempoh masa menunggu di hospital dan klinik kesihatan Melaka pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Hee Sem, bagi Hospital Melaka, purata masa menunggu untuk mendapatkan katil wad adalah 486 minit dan purata masa menunggu di Klinik Pakar ialah 90 minit.
Jelas beliau, bagi pesakit zon merah, mereka akan menerima rawatan serta-merta, manakala pesakit zon kuning, purata masa menunggu sekitar 30 minit dan 90 minit untuk pesakit zon hijau.
“Di Hospital Alor Gajah, pesakit zon merah juga menerima rawatan segera. Purata masa menunggu bagi zon kuning ialah 29 minit, zon hijau 57 minit, tempoh menunggu katil wad 181 minit, manakala purata masa menunggu di Klinik Pakar adalah 55 minit.
“Sementara itu, di Hospital Jasin, pesakit zon merah menerima rawatan serta-merta, manakala pesakit zon kuning menunggu sekitar 34 minit dan zon hijau sekitar 75 minit. Purata masa menunggu bagi kemasukan ke wad ialah 95 minit, manakala purata masa menunggu di Klinik Pakar adalah 87 minit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


