Sorting by

×

KERAJAAN NEGERI TERUS BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 15 Julai – Kerajaan Negeri menegaskan penggal terakhir pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 bukan tempoh untuk memperlahankan gerak kerja sebaliknya akan digunakan bagi memastikan setiap janji kepada rakyat ditunaikan sebelum mandat berakhir.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, amanah rakyat tidak boleh dilaksanakan secara bermusim manakala khidmat kepada rakyat juga tidak hanya bermula ketika pilihan raya semakin hampir dan tidak berakhir selepas kemenangan diumumkan.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerja sehingga ke hari terakhir, jam terakhir dan minit terakhir mandat ini kerana kita tidak mahu menjadi kerajaan yang hanya rancak mengumumkan rancangan tetapi perlahan melaksanakan tindakan.

“Kita mahu menjadi kerajaan yang dapat diukur berdasarkan hasil, dinilai berdasarkan prestasi dan dikenang kerana keberanian menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikan semasa ucapan gulung penangguhan Ketua Menteri pada pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, rakyat kini semakin matang dan tidak lagi menilai kerajaan berdasarkan janji semata-mata sebaliknya melihat kepada pencapaian, keupayaan, keikhlasan serta kesungguhan dalam melaksanakan amanah.

“Pilihan raya menentukan siapa yang diberikan kuasa tetapi cara kita melaksanakan amanah akan menentukan bagaimana kita dikenang oleh rakyat.

“Justeru itu, saya menyeru seluruh jentera pentadbiran negeri supaya tidak mengendurkan usaha. Jangan ada projek yang dilambatkan, aduan yang dibiarkan,
permohonan yang dipinggirkan atau keputusan yang ditangguhkan tanpa alasan yang munasabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam negeri dan persekutuan, agensi kerajaan serta anak syarikat Kerajaan Negeri atas komitmen dan dedikasi yang diberikan sepanjang tempoh pentadbiran.

“Mereka bukan sahaja menggerakkan urusan pentadbiran di pejabat malah turut turun ke lapangan bersama kepimpinan negeri dalam menjayakan pelbagai dasar termasuk inisiatif.

“Kesanggupan untuk berkhidmat tanpa mengira masa, kecekapan memberi respon dan keberanian mengambil tindakan merupakan kekuatan utama pentadbiran negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

135
Kongsi :
Previous post ADLY SOKONG PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI, KEPUTUSAN POLITIK DIBINCANG ESOK
Next post MASA MENUNGGU DI KLINIK KESIHATAN MELAKA KINI BERKURANG