
MELAKA LAKSANA KAJIAN PROJEK TEBATAN BANJIR DUN SUNGAI RAMBAI
SERI NEGERI 15 Julai – Kerajaan Negeri melaksanakan Kajian Tebatan Banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai sebagai langkah jangka panjang menangani isu banjir yang sering melanda DUN tersebut.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, kajian dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir, menganalisis keadaan sungai di lokasi kritikal serta menentukan penyelesaian jangka panjang lebih berkesan.
Katanya, hasil kajian itu akan menjadi asas kepada penyediaan pelan reka bentuk projek tebatan banjir dan anggaran kos sebelum kerja-kerja fizikal dapat dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan projek dalam mengurangkan risiko banjir.
“Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan menerusi JPS serta agensi lain berkaitan bagi mengenal pasti kawasan berisiko banjir, menetapkan keutamaan projek serta mendapatkan peruntukan pembangunan mengikut keperluan semasa.
“Bagi DUN Sungai Rambai terdapat beberapa lokasi yang sering terdedah kepada risiko banjir ketika hujan lebat berterusan atau berlaku peningkatan paras air sungai.
“Justeru, beberapa tindakan telah dan sedang diambil bagi memastikan penyelesaian yang dirancang bukan sahaja bersifat sementara, malah mampu memberi impak berkesan kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) mengenai masalah banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa kawasan dalam DUN Sungai Rambai pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kesang yang sedang dilaksanakan oleh JPS Negeri Johor turut dijangka membantu mengurangkan risiko banjir di DUN Sungai Rambai memandangkan Lembangan Sungai Kesang dikongsi negeri Melaka dan Johor.
“Kita berharap segala inisiatif yang dirancang bukan sahaja mampu mengurangkan risiko banjir di DUN Sungai Rambai malah meningkatkan daya tahan dalam menghadapi perubahan iklim dan cuaca ekstrem demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


