
ASPEK TEKNIKAL PUNCA KELEWATAN KELULUSAN PERMOHONAN PUSAT JAGAAN, TASKA
SERI NEGERI 15 Julai – Kegagalan pengusaha menyediakan fasiliti keselamatan mengikut syarat ditetapkan dikenal pasti sebagai antara punca utama kelewatan proses kelulusan permohonan pendaftaran pusat jagaan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, perkara itu adalah berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya bagi pendaftaran pusat jagaan dan taska, JKM akan memproses serta mengeluarkan kelulusan pendaftaran dalam tempoh 14 hari bekerja selepas semua dokumen lengkap termasuk sokongan agensi teknikal diterima.
“Antara punca utama lain yang menyebabkan kelewatan proses kelulusan adalah pengusaha gagal menyediakan tangga kecemasan dan gelung hos bomba di premis.
“Selain itu kelewatan membayar fi JKM iaitu melebihi daripada tujuh hari dan mempunyai tunggakan termasuk denda dikenakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga menyumbang kepada kelewatan proses kelulusan permohonan yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sepanjang Januari hingga Jun 2026 JKM telah melaksanakan 23 tindakan penguatkuasaan iaitu 14 keatas pusat jagaan manakala bakinya taska.
“Tindakan penguatkuasaan ini membabitkan pelbagai kesalahan antaranya aspek kebersihan dan keselamatan tidak memuaskan, nisbah penjaga dan penghuni tidak mencukupi selain rekod tidak dikemaskini.
“Selain itu juga daripada semakan dibuat, JKM mengesan terdapat sebanyak 47 buah pusat jagaan termasuk 30 taska masih tidak berdaftar justeru itu tindakan susulan akan dilaksanakan bagi memastikan kesemuanya dapat didaftarkan,” katanya.
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan pendaftaran pusat jagaan warga emas dan kanak-kanak termasuk taska dilaksanakan secara cekap demi keselamatan penghuni selaras dengan aspirasi ‘Melaka Sayang Rakyat’.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


