Sorting by

×

MELAKA BANTU ANAK ORANG ASLI NIKMATI INISIATIF LESEN MEMANDU PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 15 Julai – Anak-anak masyarakat Orang Asli dicadang menjadi kumpulan penerima baharu Program Lesen Memandu Percuma Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) bagi membolehkan mereka turut menikmati manfaat sama seperti golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, cadangan itu akan diangkat kepada Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan berikutan golongan itu menetap di kawasan luar bandar.

“Saya akan memohon kepada Kerajaan Negeri supaya meluluskan satu lagi kelompok iaitu anak-anak masyarakat Orang Asli untuk menerima inisiatif lesen percuma ini.

“Hari ini anak-anak Orang Asli bukan lagi hanya bekerja di kampung, malah ramai sudah mempunyai kerjaya dan perlu keluar dari perkampungan mereka untuk bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) mengenai cadangan menjadikan Program Lesen Memandu Percuma sebagai program tahunan pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Hameed, cadangan itu adalah berdasarkan dapatan ketika pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) tahun lalu yang mendapati ramai pelajar di kawasan luar bandar menunggang motosikal ke sekolah tanpa memiliki lesen memandu.

“Di DUN Kuala Linggi sahaja, ketika kita melawat sebuah sekolah menengah, hampir 140 pelajar membawa motosikal ke sekolah, namun hanya 15 orang mempunyai lesen memandu, manakala selebihnya tidak memiliki lesen.

“Hasil lawatan itulah saya mengangkat perkara ini kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana masyarakat luar bandar berdepan masalah pengangkutan awam, khususnya untuk anak-anak ke sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post ASPEK TEKNIKAL PUNCA KELEWATAN KELULUSAN PERMOHONAN PUSAT JAGAAN, TASKA