Sorting by

×

1,900 PELAJAR B40 MELAKA BAKAL TERIMA LESEN B2 PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 15 Julai – Seramai 1,900 pelajar daripada keluarga B40 di Melaka bakal menikmati manfaat Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) tahun ini bagi mereka memperoleh Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 secara percuma.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program diperkenalkan Kementerian Pengangkutan (MoT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu menyasarkan pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima daripada keluarga B40.

Katanya, pemilihan calon dibuat melalui saringan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum disalurkan kepada JPJ negeri bagi pelaksanaan program.

“Bagi tahun ini, seramai 60,000 pelajar di seluruh negara disasarkan menerima manfaat menerusi peruntukan RM18.5 juta, manakala Melaka menerima kuota sebanyak 1,900 peserta.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar memiliki lesen motosikal yang sah tanpa dibebani kos, selain mengurangkan kes penunggangan tanpa lesen serta memupuk budaya keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang sejak di bangku sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai perancangan Kerajaan Negeri memperluaskan Program Lesen Memandu Percuma Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurutnya, selain meningkatkan aspek keselamatan jalan raya, program itu turut membantu meningkatkan kebolehpasaran pelajar apabila memasuki alam pekerjaan kerana lesen memandu menjadi antara syarat penting bagi pelbagai sektor pekerjaan.

“Program MyLesen B2 Sekolah dilaksanakan serentak dengan Program MyLesen B2 yang menyasarkan 30,000 lagi peserta daripada golongan belia dan B40 di luar sekolah, sekali gus memperluaskan akses rakyat mendapatkan lesen memandu secara sah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

259
Kongsi :
Previous post 4 JAPERUN TELAH DIKOSONGKAN, JAWATAN EXCO AKAN DIPANGKU
Next post BIL AIR PERCUMA BERI MANFAAT 327 KELUARGA MANGSA BANJIR MELAKA