
BIL AIR PERCUMA BERI MANFAAT 327 KELUARGA MANGSA BANJIR MELAKA
SERI NEGERI 15 Julai – Kerajaan Negeri mengumumkan Bantuan Khas Melaka Sayang Rakyat Bil Air Percuma kepada mangsa banjir di negeri ini sebagai tanda keprihatinan terhadap kesukaran yang dihadapi oleh keluarga terjejas.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan tersebut melibatkan pengecualian bayaran bil air bagi penggunaan bulan Julai 2026 kepada semua mangsa banjir yang dikenal pasti.
Menurut beliau, bantuan berjumlah kira-kira RM50,000 itu akan memanfaatkan seramai 327 keluarga yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini baru-baru ini.
“Kerajaan Negeri amat memahami kesukaran yang sedang dihadapi oleh keluarga-keluarga yang terjejas akibat banjir. Justeru, saya mengumumkan Bantuan Khas Melaka Sayang Rakyat Bil Air Percuma, iaitu pengecualian bayaran bil air bagi penggunaan bulan Julai 2026 kepada mangsa banjir.
“Bantuan berjumlah kira-kira RM50,000 ini akan memberi manfaat kepada 327 keluarga yang terkesan, namun saya percaya jumlah ini akan meningkat memandangkan masih ada keluarga terkesan yang belum mendaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut mengarahkan agar pelaksanaan bantuan tersebut dipermudah dan dipercepat bagi memastikan mangsa menerima manfaat tanpa perlu melalui proses yang membebankan.
“Saya telah mengarahkan supaya pelaksanaannya dipermudah, dipercepat dan tidak dibebankan dengan urusan birokrasi yang berlebihan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


