Sorting by

×

DUN MELAKA LULUS USUL PERKUKUH TADBIR URUS SEKTOR PERHUTANAN

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SERI NEGERI 15 Julai – Dewan Undangan Negeri Melaka, hari ini, meluluskan usul Rang Undang-Undang Enakmen Perhutanan Negara (Penerimapakai) (Pindaan) 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rang undang-undang itu digubal bertujuan untuk menerimapakai keseluruhan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667] yang telah dibentangkan di Parlimen dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 8 Ogos 2022 serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan disiar Warta pada 20 September 2022.

Jelas beliau, selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 22 November 2023 dan disahkan pada 13 Disember 2023, telah bersetuju meluluskan cadangan penerimaan pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667] secara keseluruhannya di Negeri Melaka.

Menurut Ab Rauf, pemakaian rang undang-undang itu ini tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada peruntukan Kerajaan Negeri Melaka.

Namun ujar beliau, pelaksanaannya dijangka memberi impak besar dalam memperkukuh pengurusan Hutan Simpanan Kekal secara lebih sistematik, bersepadu dan berkesan, di samping memastikan kelestarian ekosistem, sumber semula jadi dan biodiversiti terus terpelihara.

“Rang Undang-Undang ini juga dapat mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan hutan melalui pemantapan kuasa dan mekanisme tindakan yang lebih menyeluruh, sekali gus memperkukuh tadbir urus sektor perhutanan di Negeri Melaka,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Perhutanan Negara (Penerimapakai) (Pindaan) 2026 pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, menerusi usul tersebut, Rang Undang-Undang Enakmen Perhutanan Negara (Penerimapakai) (Pindaan) 2026 dicadang untuk dipinda merangkumi Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa enakmen yang dicadangkan.

Turut dipinda adalah Fasal 2 bertujuan untuk menyatakan pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667], secara keseluruhan di Negeri Melaka.

Terdahulu, usul itu telah dibentang sebelum dibahas oleh dua pembahas iaitu Dr. Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) dan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong).

Pada sesi undian, usul itu menerima sokongan majoriti dengan 27 undi bersetuju, manakala seorang tidak hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post LAPAN PROJEK RTB BERNILAI RM1.456 BILION PERKUKUH MITIGASI BANJIR DI MELAKA
Next post PINDAAN ADUN LANTIKAN PENUHI KOMITMEN MANIFESTO BN