
LAPAN PROJEK RTB BERNILAI RM1.456 BILION PERKUKUH MITIGASI BANJIR DI MELAKA
SERI NEGERI 15 Julai – Sebanyak lapan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai keseluruhan RM1.456 bilion sedang dilaksanakan sebagai komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur saliran serta mengurangkan risiko banjir di negeri ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, daripada jumlah itu, dua projek kini berada di peringkat reka bentuk iaitu RTB Sungai Melaka Fasa 1 bernilai RM40 juta dan RTB Sungai Baru, Masjid Tanah yang dianggarkan menelan kos RM450 juta.
“Enam lagi projek dalam pelaksanaan melibatkan RTB Alor Gajah Fasa 1 dengan kos kontrak sebanyak RM17 juta; RTB Bandar Jasin (RM35 juta); RTB Bandar Merlimau (RM17 juta); RTB Sungai Putat (RM50 juta); RTB Sungai Duyong (RM117 juta) serta projek menaik taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai Kolam Dwi Fungsi Tebatan Banjir dan Sumber Air Negeri Melaka dengan kos kontrak sebanyak RM529 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Allex Seah Shoo Chin (PH-Kesidang) mengenai apa tindakan segera Kerajaan Negeri bagi menangani isu banjir kilat pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka turut mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Rolling Plan 2 Tahun 2027 bagi melaksanakan Projek RTB Sungai Ayer Salak dalam daerah Melaka Tengah dengan anggaran kos RM154 juta.
“Selain itu, Kajian Kemungkinan Tebatan Banjir Bukit Rambai bernilai RM250,000 sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti penyelesaian teknikal terbaik sebelum projek fizikal dapat dilaksanakan.
“Selain projek-projek fizikal, sebanyak RM500,000 turut diperuntukkan bagi melaksanakan kajian kemungkinan tebatan banjir sebagai asas kepada perancangan jangka panjang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


