Sorting by

×

BERAS PERCUMA 100KG RINGAN BEBAN 1,000 PENGANTIN BAHARU TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TELOK MAS 16 Julai – Sumbangan 100 kilogram (kg) beras percuma kepada pasangan pengantin baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menjadi antara inisiatif paling membanggakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman sepanjang memegang amanah sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, inisiatif yang terkandung dalam ’10 Janji Razak’ itu diwujudkan bagi membantu meringankan beban pasangan yang baru melangkah ke alam rumah tangga dan sedang memulakan kehidupan baharu.

Bagi beliau, perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua insan, sebaliknya permulaan kepada fasa kehidupan yang memerlukan perancangan kewangan serta pengurusan ekonomi keluarga yang lebih teratur.

“Antara perkara yang paling saya banggakan dalam 10 Janji Razak ialah pemberian 100kg beras kepada pasangan pengantin baharu.

“Bila seseorang berkahwin, mereka memasuki dunia baharu. Banyak perkara perlu diuruskan termasuk soal kewangan dan perbelanjaan harian. Jadi saya fikir, sekurang-kurangnya bantuan ini dapat mengurangkan sedikit beban mereka,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.

Menurut Abdul Razak, sejak Disember 2021 hingga Mei tahun ini, sebanyak 115,500kg beras telah disumbangkan kepada 973 pasangan pengantin di dalam DUN Telok Mas membabitkan peruntukan berjumlah hampir RM350,000.

Katanya, jumlah tersebut mungkin tidak dianggap besar dari segi nilai kewangan bagi sesetengah pihak, namun impaknya cukup bermakna dalam membantu meringankan beban rakyat serta menyemai budaya saling membantu dalam masyarakat.

“Bagi saya, kepuasan sebenar bukan pada nilainya, tetapi apabila bantuan itu dapat memberi manfaat dan menggembirakan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, apa yang lebih mengharukan adalah apabila ada dalam kalangan keluarga pengantin yang berkemampuan dan menerima sumbangan beras itu memilih untuk menyumbangkannya semula kepada golongan memerlukan di kawasan sekitar.

Katanya, tindakan itu menjadikan manfaat bantuan berkenaan lebih luas apabila ia turut sampai kepada keluarga yang kurang bernasib baik.

“Bila perkara ini berlaku, saya rasa sangat puas kerana bantuan yang kecil ini dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

465
Kongsi :
Previous post MELAKA BANTU ANAK ORANG ASLI NIKMATI INISIATIF LESEN MEMANDU PERCUMA
Next post KARNIVAL RIANG RIA ISLAM: MAIM DEDAH ILMU FARDU AIN UNTUK ANAK ASNAF