Sorting by

×

MELAKA BAKAL BUKA KAWASAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 16 Julai – Kerajaan Negeri merancang membangunkan kira-kira 2,023 hektar (5,000 ekar) kawasan perindustrian baharu di utara negeri ini khususnya dalam sektor semikonduktor bagi merancakkan lagi pertumbuhan industri berteknologi tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan itu dijangka menjadi antara pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri, selain menarik pelaburan berimpak tinggi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya, perancangan itu akan diperkukuhkan dengan pembinaan projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang dijangka meningkatkan jaringan logistik serta akses pelabur ke kawasan tersebut.

“Kedudukan strategik kawasan yang kita akan cadangkan ini yang menghubungkan Melaka dengan Negeri Sembilan serta berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu.

“Kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat melihat potensi besar pembangunan ini kerana ia mampu menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) Southern Semiconductor Networking and Dialogue 2026 From North to South: Expanding Malaysia’s Semiconductor Frontiers di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pembangunan infrastruktur yang baik termasuk jaringan lebuh raya dan logistik akan menjadi faktor penting dalam memastikan kawasan industri baharu itu mampu berkembang sebagai hab industri semikonduktor yang berdaya saing.

“Kita melihat potensi besar kawasan ini untuk menjadi antara pusat pertumbuhan ekonomi baharu, terutama apabila mengambil kira kedudukannya yang strategik serta kemudahan akses ke beberapa lokasi penting,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

578
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU JADI NEGERI PERTAMA BANGUNKAN PUSAT E-WASTE BERSEPADU
Next post MELAKA SALUR INSENTIF RM300,000 UNTUK PERSATUAN PELANCONGAN