Sorting by

×

MELAKA MAHU JADI NEGERI PERTAMA BANGUNKAN PUSAT E-WASTE BERSEPADU

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

BANDA HILIR 16 Julai – Kerajaan Negeri Melaka berhasrat menjadi pelopor di negara ini dengan mewujudkan pusat setempat pengurusan sisa elektronik (e-waste) pertama di Malaysia bagi menangani isu pelupusan bahan buangan elektronik secara lebih sistematik, mampan dan berimpak tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan susulan perbincangan bersama pemain industri semikonduktor yang melihat keperluan mendesak terhadap sebuah pusat pengurusan e-waste bersepadu.

Menurut beliau, beberapa lokasi berpotensi di Melaka telah dikenal pasti bagi pembangunan pusat berkenaan, namun penelitian dan kajian lanjut masih dilaksanakan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kita mahu Melaka menjadi perintis kepada pusat setempat e-waste yang boleh dijadikan penanda aras baharu dalam pengurusan sisa elektronik negara.

“Setakat ini kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai dan perkara itu masih di peringkat perbincangan sebelum dibawa kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) Southern Semiconductor Networking and Dialogue 2026: From North to South – Expanding Malaysia’s Semiconductor Frontiers di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, penubuhan pusat setempat e-waste itu bukan sahaja dapat menyelesaikan isu pengurusan sisa elektronik secara lebih mampan dan teratur, malah berpotensi menjadikan Melaka sebagai peneraju negara dalam pembangunan industri ekonomi kitaran (circular economy).

Katanya, perkembangan pesat industri semikonduktor dan teknologi tinggi di negara ini memerlukan satu ekosistem pengurusan e-waste yang cekap, selamat dan memenuhi piawaian alam sekitar.

“Pusat ini bukan sekadar kemudahan pelupusan sisa elektronik, sebaliknya berpotensi menjadi hab ekonomi baharu dan meletakkan Melaka sebagai peneraju negara dalam pembangunan industri ekonomi kitaran.

“Kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat melihat potensi besar pembangunan ini kerana ia mampu memberi limpahan manfaat bukan sahaja kepada Melaka, malah kepada negara secara keseluruhannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

381
Kongsi :
Previous post JKM MELAKA BAKAL TERIMA 10 PEGAWAI BAHARU