Sorting by

×

JKM MELAKA BAKAL TERIMA 10 PEGAWAI BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

MERLIMAU 16 Julai – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka bakal menerima tambahan 10 pegawai baharu, sekali gus meningkatkan lagi tahap penyampaian perkhidmatan kebajikan seluruh negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, penambahan perjawatan itu diluluskan Kerajaan Negeri susulan skop tugas JKM yang meluas serta keperluan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Kalsom berkata, sesi pengambilan dan temu duga sudah selesai dilaksanakan dan kesemua 10 pegawai JKM baharu dijangka akan memulakan tugas mereka pada Ogos.

“JKM mempunyai skop tugas yang amat luas, bermula daripada kebajikan sejak lahir hinggalah dewasa, kemudian turut melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU), mangsa bencana seperti banjir, memantau serta menguruskan pusat jagaan.

“Berikutan itu tambahan pegawai adalah satu keperluan dan mereka akan ditempatkan di daerah-daerah bagi menguruskan kes antaranya berkaitan bantuan susu dan lampin, pengabaian, penguatkuasaan termasuk penerima bantuan yang kini melebihi 33,000 orang.

“Kelulusan ini diberikan Kerajaan Negeri bagi mengukuhkan lagi perkhidmatan JKM dalam berkhidmat untuk rakyat Melaka khususnya,” katanya ketika ditemui selepas Ziarah Kasih JKM Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, di Taman Merlimau Utama, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom dan Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad.

Kalsom yang juga Adun Pengkalan Batu berkata, ketika ini JKM Melaka mempunyai seramai 360 pegawai dan daripada jumlah itu 130 orang bertanggungjawab mengendalikan hal ehwal kebajikan di daerah.

“Pastinya pertambahan pegawai ini mampu membantu mengurangkan beban tugas sedia ada selain memperkukuhkan lagi pelaksanaan program serta penyampaian bantuan kebajikan kepada kumpulan sasar,” katanya.

Sementara itu Kalsom berkata, sesi Ziarah Kasih JKM Sempena Program WRUR DUN Merlimau seramai 40 orang klien JKM disantuni dengan sebahagian daripada mereka menerima surat kelulusan permohonan bantuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post HAWANA 2026: TNB RAI PENGAMAL MEDIA MELAKA
Next post MELAKA MAHU JADI NEGERI PERTAMA BANGUNKAN PUSAT E-WASTE BERSEPADU