
MELAKA SALUR INSENTIF RM300,000 UNTUK PERSATUAN PELANCONGAN
SERI NEGERI 16 Julai – Kerajaan Negeri menyalurkan insentif khas berjumlah RM300,000 kepada persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan pelancongan, seni, warisan dan budaya sebagai usaha menyokong agenda pelancongan negeri.
Peruntukan tersebut diumumkan menerusi Bajet Negeri Melaka 2026 di bawah skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pelancongan sebagai galakan kepada penggiat industri merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemberian insentif khas itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh jaringan kerjasama dengan pemain industri yang menjadi antara watak penting dalam memacu ekonomi negeri di bawah sektor pelancongan.
Menurut beliau, persatuan dan NGO berkaitan pelancongan, seni, warisan dan budaya telah memainkan peranan cukup besar sebagai rakan strategik kerajaan dalam mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan dan komitmen semua persatuan serta NGO yang selama ini menjadi tulang belakang kepada pembangunan sektor pelancongan, seni, warisan dan budaya di negeri ini.
“Insentif khas berjumlah RM300,000 yang diperuntukkan ini diharap dapat meningkatkan keupayaan dan memperkasakan lagi peranan mereka untuk bergerak lebih proaktif, kreatif dan berdaya saing dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti pelancongan.
“Kita mahu semua pihak berganding bahu memastikan Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 menjadi platform terbaik untuk melonjakkan lagi ekonomi negeri serta memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri telah menyempurnakan penyerahan insentif khas berjumlah RM10,000 setiap satu kepada lapan persatuan pelancongan di negeri ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad serta lain-lain kenamaan.
Antara yang menerima sumbangan adalah Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Persatuan Agen Kembara Malaysia (MATTA) Melaka Chapter, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter, Persatuan Hotel Bajet Malaysia Melaka (MyBHA), Persatuan Pengusaha Homestay Negeri Melaka, Persatuan Pengusaha Resort dan Chalet Bumiputera Negeri Melaka, Malacca Historic City Tourist Guide Association serta Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM).
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan sumbangan RM150,000 daripada sebuah syarikat jenama fesyen terkemuka dunia yang berpangkalan di Malaysia kepada Ketua Menteri bagi menyokong dan menjayakan program-program pelancongan sempena kempen Tahun Melaka Melaka 2.0.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


