
MELAKA BELUM TERIMA SURAT PELETAKAN AHLI MAJLIS PH, KEDUDUKAN BELUM DIMUKTAMADKAN
MERLIMAU 16 Julai – Kerajaan Negeri masih belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) mewakili Pakatan Harapan (PH) susulan arahan pucuk pimpinan gabungan itu supaya mereka melepaskan jawatan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang surat rasmi peletakan jawatan daripada mana-mana ahli majlis yang terlibat.
Menurut beliau, sebarang keputusan mengenai kedudukan mereka perlu diteliti mengikut peruntukan dan prosedur yang ditetapkan sebelum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Untuk ahli majlis ini sebenarnya kita tidak pernah mengarahkan mereka meletak jawatan atau keluar daripada pentadbiran Kerajaan Negeri. Itu adalah keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti mereka sendiri.
“Setakat hari ini, selaku Exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio kerajaan tempatan, saya masih belum melihat sebarang surat peletakan jawatan daripada ahli-ahli majlis terbabit.
“Sekiranya ada surat yang diterima, kita perlu melihat dan meneliti perkara itu terlebih dahulu kerana ia tidak boleh dianggap gugur secara automatik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Merlimau di Kampung Merlimau Tengah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Rais berkata, dengan tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri yang berbaki beberapa bulan sebelum berakhir, semua pihak seharusnya memberi keutamaan kepada agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, media pada Selasa melaporkan DAP Melaka mengumumkan penarikan sokongan terhadap Kerajaan Negeri dan akan melepaskan semua jawatan Exco, Timbalan Exco serta ahli majlis.
Keputusan itu dibuat selepas Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lantikan diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


