
MELAKA SOKONG INISIATIF PEMERKASAAN PERUSAHAAN MIKRO, KECIL DAN SEDERHANA
BANDARAYA MELAKA 16 Julai – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) menjadi tunjang kepada perkembangan ekonomi negara termasuk Negeri Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berikutan itu Kerajaan Negeri sentiasa menyokong pelaksanaan inisiatif untuk terus memperkasakan sektor berkenaan termasuk menerusi penghargaan kepada usahawan yang menunjukkan kesungguhan dan menggapai kejayaan dalam perniagaan diusahakan.
Katanya, perniagaan dikategorikan sebagai MSME adalah bersaiz kecil namun impaknya kepada perkembangan ekonomi sesebuah negeri dan negara adalah amat besar.
“Sektor ini mewujudkan peluang pekerjaan, menjadikan institusi kekeluargaan lebih berkualiti, mengukuhkan rantaian bekalan dan seterusnya menawarkan produk atau perkhidmatan baharu dalam pasaran.
“Bagi Negeri Melaka kita juga mempunyai banyak MSME yang aktif dalam menyokong sektor pembuatan, pelancongan, logistik, memproses makanan, peruncitan, perkhidmatan dan terkini adalah ekonomi digital,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Anugerah Keusahawanan Platinum (PBA) 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia Dr. Chin Chee Seong; Pengerusi Penganjur PBA 2026 Datuk Wira Richard Lau dan Presiden Usahawan SME Melaka Patric Chang Chun Kuang.
Ab Rauf berkata, perkara pokok lebih besar dan bermanfaat adalah sektor berkenaan bukan sahaja menyokong ekosistem perniagaan, malah mewujudkan peluang dan meningkatkan mutu kehidupan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


