
SEKTOR SEMIKONDUKTOR SUMBANG RM17.6 BILION KEPADA EKONOMI MELAKA
BANDA HILIR 16 Julai – Industri semikonduktor terus menjadi pemacu utama ekonomi Melaka apabila sektor itu menyumbang sebanyak RM17.6 bilion atau 36.1 peratus kepada ekonomi negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan kekuatan ekosistem semikonduktor Melaka yang telah berkembang lebih 50 tahun dan kini menjadi antara hab pembuatan utama negara.
Katanya, negeri ini turut menempatkan kira-kira 400 syarikat pembuatan termasuk 18 pemain utama dalam industri semikonduktor negara.
“Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) Session buat julung kali diadakan ini menghimpunkan pembuat dasar dan pemain industri bagi membincangkan hala tuju baharu sektor ini.
“Kerajaan Negeri melihat industri semikonduktor ini mempunyai peranan besar dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Melaka pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Program Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) Southern Semiconductor Networking and Dialogue 2026 From North to South: Expanding Malaysia’s Semiconductor Frontiers di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sektor itu telah mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan mahir antaranya syarikat global yang terus memperkukuh operasi di negeri ini seperti Infineon Technologies, Texas Instruments, COHU Malaysia, ATX Semiconductor dan Possehl Electronics.
Katanya, kebanyakan syarikat berkenaan bukan sahaja kekal beroperasi di Melaka selama beberapa dekad malah terus menambah pelaburan, sekali gus membuktikan keyakinan terhadap negeri ini.
“Perkembangan ini turut memberi manfaat kepada lebih 1,000 pembekal, vendor dan penyedia perkhidmatan tempatan yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri.
“Sepanjang tahun 2025 hingga suku pertama 2026, syarikat dalam ekosistem ini berjaya merekodkan nilai eksport kira-kira RM31.9 bilion sekali gus membuktikan Melaka mempunyai ekosistem industri yang matang dan mampu menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


