Sorting by

×

PERUSAHAAN MIKRO PEMANGKIN PERKEMBANGAN EKONOMI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 Julai – Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk ‘melabur’ sebanyak RM1.2 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) Melaka terus berkembang dan berdaya saing.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaburan berkenaan adalah termasuk untuk menyokong pelaksanaan 15 program pembangunan yang memberikan manfaat kepada lebih 200 usahawan seluruh Melaka.

Katanya, pada masa yang sama Kerajaan Negeri juga membantu 120 usahawan MSME untuk mengaplikasikan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti dan seterusnya meneroka pasaran yang lebih luas.

“Sektor ini dikenal pasti sebagai antara pemangkin dalam menjayakan agenda mengembangkan lagi ekonomi negeri. Peranan dan tanggungjawab dimainkan Kerajaan Negeri dalam perkara ini amat jelas iaitu kita mahu mewujudkan lebih banyak peluang buat usahawan di Melaka.

“Kita mahu usahawan ini mewujudkan persekitaran dan jaringan perniagaan yang disokong inovasi, menarik pelaburan berkualiti serta mengukuhkan perkembangan rantaian perniagaan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Anugerah Keusahawanan Platinum (PBA) 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex  Seah Shoo Chin; Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia Dr. Chin Chee Seong; Pengerusi Penganjur PBA 2026 Datuk Wira Richard Lau dan Presiden Usahawan SME Melaka Patric Chang Chun Kuang.

Ab Rauf berkata, selain membuka peluang Kerajaan Negeri turut membantu 24 pengusaha MSME untuk berkembang menerusi penyediaan Geran Pembangunan Usahawan.

“Hasilnya, sekarang ini produk yang dikeluarkan lebih 10 usahawan MSME Melaka sudah menembusi pasaran antarabangsa seperti China, United Kingdom, Jepun, Taiwan, Thailand, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi,” katanya.

“Usaha ini tidak akan terhenti sampai di sini sahaja, kita berazam untuk melahirkan lebih ramai pengeksport, pengeluar produk tempatan seterusnya mewujudkan lebih banyak perniagaan yang dipacu teknologi dan inovasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

315
Kongsi :
Previous post SEKTOR SEMIKONDUKTOR SUMBANG RM17.6 BILION KEPADA EKONOMI MELAKA
Next post ‘MELAKA INDUSTRIAL BOOSTER’ LANCARKAN PERMOHONAN PELABURAN LEBIH RM400 JUTA