
USAHAWAN MELAKA PERLU BERANI TEROKA PASARAN BAHARU
BANDARAYA MELAKA 16 Julai – Anak Melaka yang terlibat dalam bidang keusahawanan perlu memiliki kemahuan untuk terus maju dalam perniagaan, bukannya sekadar selesa sebagai jaguh kampung.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menjadi hasrat beliau untuk melihat usahawan Melaka bergelar pemimpin kebangsaan dan menjadi pemain peringkat global.
Katanya, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu usahawan tempatan, berikutan itu peluang terbuka perlu direbut oleh mereka berkenaan.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya, lebih ramai wanita menerajui bidang perniagaan, orang muda yang membina syarikat yang inovatif dan produk Melaka di pasaran ke seluruh dunia.
“Kepada semua usahawan, saya mahu anda terus maju dan penuh keyakinan, jangan teragak-agak untuk meneroka pasaran baharu dan fikir dengan lebih luas,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Anugerah Keusahawanan Platinum (PBA) 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia Dr. Chin Chee Seong; Pengerusi Penganjur PBA 2026 Datuk Wira Richard Lau dan Presiden Usahawan SME Melaka Patric Chang Chun Kuang.
Ab Rauf berkata, usahawan bukan sahaja menguntungkan diri sendiri semata-mata, sebaliknya mereka membantu orang disekeliling dengan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
“Keluarga lebih bahagia dan Negeri Melaka menjadi lebih kuat. Anugerah bukan noktah perjalanan sebagai seorang usahawan, ia adalah tanda pengiktirafan yang menyuntik motivasi untuk anda menggapai kejayaan lebih besar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


