
PH MELAKA MUKTAMAD TARIK DIRI DARIPADA PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI
MELAKA 16 Julai – Pakatan Harapan (PH) Melaka hari ini mengumumkan keputusan muktamad menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri susulan pendirian menolak pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Kenyataan bersama Pengerusi PH Melaka Adly Zahari, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Melaka Adam Adli Abdul Halim, Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong dan Pengerusi Amanah Melaka Datuk Ashraf Mukhlis Minghat memaklumkan bahawa keputusan itu disahkan selepas kepimpinan PH Melaka bermesyuarat dengan semua ADUN gabungan berkenaan hari ini.
“Penarikan diri daripada Kerajaan Negeri ini adalah selaras dengan prinsip dan amalan demokrasi bahawa apabila seseorang Exco atau ADUN tidak lagi menyokong sesuatu usul oleh Kerajaan Negeri di Dewan Undangan Negeri, adalah tidak layak lagi bagi Exco atau ADUN tersebut menerima keistimewaan dan kemudahan Kerajaan Negeri,” menurut kenyataan itu.
PH Melaka turut memutuskan bahawa semua Ahli Majlis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung gabungan itu akan menarik diri daripada jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Julai ini bagi memastikan kelancaran proses peralihan.
Pada masa sama, PH Melaka merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Kerajaan Negeri serta penjawat awam atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dalam pentadbiran negeri.
Menurut kenyataan itu, ADUN PH akan terus berkhidmat kepada rakyat Melaka tanpa mengira fahaman politik sehingga tamat mandat yang diberikan.
Keputusan PH Melaka dibuat susulan kelulusan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Negeri Melaka berkaitan ADUN lantikan semasa sidang Dewan Undangan Negeri pada Selasa lepas yang mendapat bantahan lima wakil rakyat daripada gabungan itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

