Sorting by

×

MELAKA SEDIA JADI HAB SEMIKONDUKTOR BERTARAF DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 17 Julai – Melaka berada pada landasan terbaik untuk muncul sebagai hab semikonduktor dan pembuatan termaju bertaraf dunia menerusi ekosistem industri, tenaga kerja mahir serta komitmen Kerajaan Negeri dalam memudah cara pelaburan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, negeri ini memiliki segala prasyarat yang diperlukan pelabur termasuk asas industri kukuh, infrastruktur berkualiti dan sokongan Kerajaan Negeri yang responsif.

Katanya, setiap pelabur lazimnya akan bertanyakan tiga persoalan utama iaitu mengapa perlu memilih Melaka, mengapa masa sekarang merupakan waktu terbaik untuk melabur dan sama ada Kerajaan Negeri mampu menyediakan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan berkembang.

“Jawapan saya amat jelas Melaka sudah bersedia, kita mempunyai asas industri yang kukuh, kekuatan ekonomi, bakat serta infrastruktur untuk menyokong gelombang pertumbuhan baharu.

“Lebih penting lagi Kerajaan Negeri komited untuk bekerjasama dengan mana-mana pelabur pada setiap peringkat perjalanan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Program Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) Southern Semiconductor Networking and Dialogue 2026 From North to South: Expanding Malaysia’s Semiconductor Frontiers di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai serta kenamaan lain.

Pada majlis tersebut Ab Rauf turut menyertai sesi dialog yang menghimpunkan pemimpin industri, pelabur, syarikat teknologi, institusi kewangan, ahli akademik dan rakan strategik yang membincangkan potensi hala tuju industri semikonduktor.

Tambah Ab Rauf, Kerajaan Negeri bukan sekadar mahu menarik pelaburan baharu malah berhasrat membina ekosistem industri yang membolehkan syarikat terus berkembang, berinovasi dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Melaka.

“Usaha ini penting bagi memastikan pertumbuhan industri berteknologi tinggi memberi limpahan manfaat kepada rakyat melalui wujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan mahir di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post PH MELAKA MUKTAMAD TARIK DIRI DARIPADA PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI