Sorting by

×

MELAKA RUMAHKU UBAH NASIB LIMA KELUARGA DI MERLIMAU

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

MERLIMAU 17 Julai – Seramai lima keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau kini memiliki kediaman lebih selesa dan selamat selepas Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) membina lima rumah baharu di bawah Program Melaka Rumahku membabitkan peruntukan keseluruhan RM350,000.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan kurang berkemampuan dan memerlukan tidak tercicir daripada menikmati kehidupan yang lebih sempurna.

Menurut beliau, setiap unit rumah baharu dibina dengan kos RM70,000 dan sejak tahun 2023, sebanyak lima rumah telah siap dibina di DUN Merlimau.

“Sejak tahun 2023 hingga kini, LPM telah membina lima rumah baharu di DUN Merlimau dengan kos keseluruhan RM350,000.

“Selain itu, sebuah rumah turut dibaik pulih menerusi bantuan LPM membabitkan kos RM20,000 bagi memastikan penghuninya dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Merlimau di Kampung Merlimau Tengah, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas lanjut, Rais berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha membantu golongan memerlukan menerusi Program Melaka Rumahku, termasuk pembinaan dua lagi rumah baharu di DUN Merlimau pada tahun ini.

“Kita akan terus mengenal pasti golongan yang layak menerima bantuan supaya tiada rakyat yang memerlukan tercicir daripada menerima manfaat inisiatif ini,” katanya.

Menurut beliau, dalam lawatan ziarah berkenaan, pihaknya turut mengenal pasti beberapa rumah yang dibina di atas tanah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan dihuni oleh golongan mualaf yang memerlukan bantuan serta perhatian daripada Kerajaan Negeri.

Katanya, pihak kerajaan akan meneliti bentuk bantuan yang sesuai bagi memastikan kebajikan penghuni terbabit terus terbela.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Ini selaras dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menekankan kebajikan rakyat sebagai agenda utama pentadbiran negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

413
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA JADI HAB SEMIKONDUKTOR BERTARAF DUNIA