Sorting by

×

NELAYAN MELAKA TERIMA ‘DURIAN RUNTUH’

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

MERLIMAU 17 Julai – Komuniti nelayan di Negeri Melaka menerima ‘durian runtuh’ apabila Kerajaan Negeri mengumumkan beberapa inisiatif dan insentif baharu bagi membela kebajikan dan menaik taraf hidup pejuang laut.

Inisiatif baharu itu termasuklah berupa tajaan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membabitkan kesemua nelayan berdaftar di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, selain itu, semua nelayan berdaftar juga bakal menerima peranti pengesan ikan (fish finder) secara percuma, sekali gus menjadi antara usaha Kerajaan Negeri memodenkan nelayan di negeri ini.

“Tidak hanya itu, untuk komuniti nelayan di Merlimau, saya juga mengumumkan pemberian insentif RM200 bagi pembelian peralatan seperti jaring dan sebagainya.

“Lebih istimewa lagi, nelayan dan penduduk Kampung Sempang, Merlimau juga diberikan sumbangan ikan secara percuma sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sarapan Pagi dan Menyantuni Komuniti Nelayan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Jeti Kuala Sempang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, siri jelajah itu bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya menjadi platform untuk Kerajaan Negeri menilai sendiri bantuan dan sokongan yang boleh diberikan kepada rakyat termasuk komuniti nelayan.

“Kita tidak hanya duduk di kerusi empuk di pejabat tetapi turun padang bersama rakyat melihat keperluan rakyat dan mendengar sendiri apa yang boleh kita bantu serta sokong.

“Untuk siri kelima ini, saya berada di DUN Merlimau selama seharian untuk bersama rakyat yang telah banyak memberi sokongan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri sepanjang tempoh ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post MELAKA RUMAHKU UBAH NASIB LIMA KELUARGA DI MERLIMAU
Next post 3,600KG IKAN PERCUMA ‘LICIN’ DALAM 10 MINIT