
3,600KG IKAN PERCUMA ‘LICIN’ DALAM 10 MINIT
MERLIMAU 17 Julai – Sebanyak 3,600 kilogram ikan cencaru dan mata besar yang diagihkan secara percuma kepada penduduk dan komuniti nelayan di Kampung Sempang, di sini, habis dalam tempoh hanya 10 minit.
Sumbangan itu diberikan bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, sekali gus membuktikan sokongan luar biasa terhadap program dianjurkan Kerajaan Negeri.
Agihan ikan percuma itu merupakan antara inisiatif disediakan pada siri jelajah itu bertujuan meringankan beban rakyat serta menghargai sumbangan komuniti nelayan kepada pembangunan ekonomi negeri.
Setiap penerima menerima kira-kira 1.5 kilogram ikan secara percuma membabitkan nilai RM3,600 sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang Kerajaan Negeri terhadap rakyat.

Terdahulu, sumbangan itu telah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diiringi Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Selain sumbangan ikan percuma, Ketua Menteri dan kenamaan turut meluangkan masa kira-kira 30 minit bersarapan pagi bersama komuniti nelayan dan penduduk sekitar.
Ab Rauf turut mengambil peluang dalam suasana santai itu untuk mendekati setiap lapisan rakyat dan mendengar sendiri keperluan mereka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


