
TOK RAUF TABIK PENGORBANAN ‘USTAZ, USTAZAH’
MERLIMAU 17 Julai – Pengorbanan guru agama yang memilih untuk mendidik anak-anak dengan ilmu Islam merupakan satu amal jariah yang pahalanya berterusan selagi ilmu itu diamalkan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, kerjaya sebagai ustaz dan ustazah bukan sekadar satu profesion, sebaliknya satu pilihan mulia kerana mereka berperanan membimbing generasi muda agar memiliki ilmu dan akhlak yang baik.
“Apabila memilih menjadi ustazah atau ustaz, maknanya memilih untuk membimbing anak-anak supaya mereka mendapat ilmu bermanfaat.
“Anak-anak yang dididik hari ini suatu hari nanti akan menjadi insan berguna kepada masyarakat dan setiap kejayaan mereka menjadi saham akhirat kepada guru yang mendidik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di SRA JAIM Merlimau Pantai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.
Menurut Ab Rauf, keberkatan seorang guru dapat dilihat apabila berjaya melahirkan anak didik berilmu, berakhlak dan memberi manfaat kepada agama, bangsa serta negara.
Sehubungan itu, beliau berharap semua guru agama supaya terus melaksanakan amanah mendidik dengan niat yang ikhlas demi melahirkan generasi Islam cemerlang.
“Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh sokongan kepada sekolah agama melalui pelbagai bentuk bantuan bagi memastikan institusi pendidikan Islam terus berkembang,” katanya.
Pada lawatan itu, Ab Rauf turut menyampaikan sumbangan pembinaan bumbung kaki lima SRA JAIM Merlimau Pantai berjumlah RM5,000, bantuan pengurusan SRA JAIM sebanyak RM7,000 serta sumbangan kepada Guru KAFA DUN Merlimau berjumlah RM6,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


