
KERINGAT ATUK BAKAR SEMANGAT AFFIEZUL UBAH NASIB KELUARGA
MERLIMAU 18 Julai – Setiap titis peluh datuknya yang tumpah ke bumi membakar semangat Muhammad Noor Affiezul Shah Abdullah, 19, untuk menggapai kecemerlangan dalam bidang akademik kerana yakin ia adalah tiket mampu mengubah kehidupannya dan adik-beradik yang lain.
Meskipun membesar dalam serba kekurangan pelajar Kolej Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin ini memiliki semangat untuk berjaya dan kesungguhannya terbukti apabila berhasil meraih keputusan cemerlang pada setiap kali menduduki peperiksaan.
Berikutan itu dia amat berharap dapat meraih keputusan lebih cemerlang pada Peperiksaan Sijil Tinggi Pesekolahan Malaysia (STPM) seterusnya melanjutkan pengajian ke menara gading yang menjadi idamannya selama ini.
“Sebenarnya saya adalah anak sulung daripada 10 beradik, namun selepas ibu bapa membawa haluan masing-masing tujuh daripada kami dijaga datuk dan nenek. Kegigihan datuk membesarkan kami membakar semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran.
“Melihat datuk kelelahan melukakan hati, tetapi saya tidak boleh berfikiran negatif sebaliknya menjadikannya sebagai kekuatan untuk berjaya. Datuk adalah pesara tentera dan untuk besarkan kami dia juga mengambil upah melakukan kerja kampung bagi menambah pendapatan.
“Jika berkelapangan dan kebetulan ada kematian saya akan bantu datuk menggali kubur atau kerja-kerja lain yang boleh meringankan bebannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di sekolah berkenaan pada Jumaat.
Pada majlis sama Ketua Menteri turut menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM serta sumbangan pembelajaran harian untuk 26 pelajar.
Muhammad Noor Affiezul Shah, sebelum ini menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti, namun terpaksa menangguhkan hasratnya itu berikutan kekangan kewangan dan memilih untuk ke tingkatan enam.
“Alhamdulillah kesukaran saya turut mendapat perhatian daripada guru-guru dan Kerajaan Negeri Melaka yang banyak membantu mempermudahkan urusan khususnya melibatkan aspek pendidikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


