Sorting by

×

NELAYAN MERLIMAU TERSENYUM TERIMA 3 BERITA GEMBIRA

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

MERLIMAU 18 Julai – Komuniti nelayan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pelbagai bantuan yang diumumkan bagi membela kebajikan dan memajukan taraf hidup mereka.

Menerusi siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Merlimau, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan tiga berita gembira serentak iaitu pemberian saguhati RM200 bagi pembelian peralatan menangkap ikan, tajaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sumbangan alat pengesan ikan (fish finder).

Pengerusi Persatuan Nelayan Jeti Kuala Sempang, Md Khalil Md Jadi, 67, mewakili komuniti nelayan di kawasan itu merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri yang sentiasa berjuang untuk meringankan beban nelayan di negeri ini.

Menurut beliau, pemberian wang saguhati RM200 kepada nelayan umpamanya amat bermakna terutama ketika ramai nelayan tidak dapat turun ke laut akibat faktor cuaca dan keadaan semasa, di samping ia dapat digunakan bagi pembelian jaring dan sebagainya.

“Tidak hanya itu, kami juga bakal menerima caruman PERKESO dan SOCSO percuma yang sangat membantu dalam melindungi kami ketika menangkap ikan di laut, lebih-lebih kebanyakan nelayan sudah berusia dan berumur antara 50 hingga 60 tahun,” katanya kepada pemberita selepas menerima santunan kasih Ketua Menteri pada siri jelajah berkenaan, semalam.

Turut bersama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta lain-lain kenamaan.

Beliau yang sudah 22 tahun bergelar pengerusi persatuan nelayan di kawasan itu berkata, bantuan alat sonar atau ‘fish finder’ yang diumumkan Kerajaan Negeri juga akan memberi impak besar kepada golongan nelayan.

“Dengan adanya alat sonar ini, nelayan lebih mudah mengesan lokasi ikan dan meningkatkan hasil tangkapan. Dulu kami hanya bergantung kepada pengalaman dan pengetahuan kawasan, tetapi dengan teknologi ini kerja menjadi lebih mudah.

“Nelayan era moden memerlukan kemudahan moden dan saya yakin bantuan ini dapat membantu memajukan industri perikanan nelayan di Melaka,” katanya.

Sementara itu, nelayan Kuala Merlimau, Amirul Shah Fuad Shah, 35, berkata pelbagai inisiatif yang diumumkan Kerajaan Negeri amat membantu komuniti nelayan yang berdepan pelbagai cabaran dalam mencari rezeki.

“Bantuan yang diumumkan ini memang menggembirakan semua nelayan. Walaupun ada pelbagai kesukaran dan cabaran yang dihadapi, bila Kerajaan Negeri beri perhatian dengan sumbangan dan kelonggaran kepada nelayan, kami sangat bersyukur.

“Bantuan alat sonar misalnya, jika hendak dibeli sendiri harganya mencecah lebih RM1,000 hingga RM2,000. Jadi apabila bantuan ini diumumkan, ia memang sangat membantu kami.

“Begitu juga dengan carumah PERKESO yang sebelum ini dibuat melalui potongan elaun sara hidup nelayan, tetapi sekarang kami menerima manfaat secara penuh dan ia sangat membantu,” katanya.

Amirul turut memuji pendekatan mesra rakyat yang dipraktikkan Ketua Menteri menerusi siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang disifatkan memberi impak besar bukan sahaja kepada komuniti nelayan, bahkan rakyat Melaka keseluruhannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post MACAM-MACAM CERITA ADA DI SUNGAI MELAKA