
MACAM-MACAM CERITA ADA DI SUNGAI MELAKA
DUYONG 18 Julai – Festival Sungai Melaka 2026 di daerah Melaka Tengah hujung minggu ini berlangsung dalam suasana cukup meriah apabila berjaya menggamit kehadiran ribuan pengunjung sejak awal pagi tadi.
Suasana hari pertama program anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu membawakan pelbagai cerita menarik apabila beberapa acara berlangsung membabitkan penyertaan segenap lapisan masyarakat.

Antara tumpuan utama adalah pertandingan Tug Of War 2026 yang menampilkan seramai 60 peserta membabitkan 16 pasukan bukan sahaja dari Melaka bahkan turut disertai peserta dari Johor dan Selangor.
Uniknya, pertandingan itu bukan diadakan di darat, sebaliknya di tengah-tengah Sungai Melaka, di mana peserta dikehendaki mendayung pedal dari atas bot untuk menewaskan kumpulan lain.
Pertandingan itu telah dimenangi Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) C, sekali gus membawa pulang RM700, medal dan piala kemenangan.
Pada masa sama, turut berlangsung Nuhea Battle Of Konda Kondi yang berjaya menarik 300 penyertaan dari dalam dan luar Melaka.
Bagi kanak-kanak pula telah diadakan pertandingan mewarna dan dam aji yang berjaya menambah lagi warna festival pada tahun ini.

Tumpuan turut terarah kepada siaran langsung Podcast Festival Sungai Melaka 2026 yang membawakan pelbagai kisah menarik sempena festival berkenaan yang berlangsung selama empat bulan di kesemua tiga daerah dalam Negeri Melaka.
Menariknya, penonton siaran langsung podcast ini juga berpeluang mendapatkan diskaun istimewa 30 peratus menaiki Melaka River Cruise menerusi kod promo istimewa HAPPYHOURFASM30% atau menghubungi nombor yang tertera.

Bukan itu sahaja, malah festival tahun ini turut menyelitkan elemen tanggungjawab sosial korporat menerusi Skuad Hero Sungai Melaka iaitu aktiviti membersihkan sungai bersama sukarelawan terdiri dalam kalangan anak muda dan institusi pengajian tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


