Sorting by

×

‘TAK SANGKA KETUA MENTERI SENDIRI DATANG RUMAH BANTU SAYA’

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

MERLIMAU 18 Julai – Beberapa tahun mendiami rumah pusaka yang semakin reput dimamah anai-anai, seorang bapa kepada empat anak akhirnya mampu menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan rumah baharu bernilai RM70,000 untuk keluarga itu.

Sumbangan di bawah inisiatif Program Melaka Rumahku (PMR) itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat edisi kelima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bakal membina sebuah rumah baharu bernilai RM70,000 di bawah program Melaka Rumahku.

Masalah struktur rumah reput dan bumbung bocor itu diakui sudah berlaku sekian lama, namun Ab Rahman Atan, 60, tidak pernah tampil meminta bantuan kerana segan untuk berbuat demikian.

Namun siapa sangka, ziarah keliling kawasan daripada pemimpin membawa sinar kegembiraan untuk keluarganya apabila datang melihat sendiri keadaan rumah dan segera membantu untuk mengemukakan permohonan.

“Baru sahaja beberapa hari lalu kami sekeluarga diziarahi dan kini permohonan itu sudah diluluskan. Memang saya tidak tahu nak kata apa, saya terharu sangat kerana mempunyai pemimpin yang prihatin.

“Memang saya syukur, ya Allah. Dapat rumah baharu dan dapat memberikan tempat tinggal yang lebih selesa untuk anak-anak. Selama ini saya tidak suka meminta-minta, tetapi saya tidak sangka Kerajaan Negeri sendiri datang membantu saya sekeluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menerima ziarah Ketua Menteri di kediamannya di Kampung Merlimau Pasir, di sini, semalam.

Turut bersama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin serta lain-lain kenamaan.

Menurut warga emas yang bekerja sendiri itu, sebelum ini, dia bersama anak-anaknya sukar untuk melelapkan mata, tiap kali hujan lebat atau ribut melanda kawasan rumah.

“Keadaan rumah memang teruk, sudah dimakan anai-anai dan banyak bahagian bumbung tercabut. Bila hujan, rumah bocor dan bila ribut, kami sekeluarga memang takut dan tidak dapat tidur lena kerana bimbang rumah ini tiba-tiba roboh,” katanya.

Justeru, Ab Rahman menyifatkan siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan itu membawa rahmat cukup besar untuknya dan keluarga.

Beliau berkata, pengumuman itu merupakan satu rahmat besar buat keluarganya yang sekian lama hidup dalam kebimbangan mengenai keselamatan kediaman mereka.

“Terima kasih Ketua Menteri, terima kasih Datuk Dr. Akmal dan pemimpi negeri yang tidak pernah jemu membantu dan memperjuangkan nasib rakyat.

“Bagi saya, Jelajah Ketua Menteri ini benar-benar membantu rakyat di bawah. Ketua Menteri dan pemimpin lain sanggup turun ke kampung-kampung mencari rakyat yang susah untuk dibantu. Saya memang bangga dan bersyukur dengan kepimpinan pada hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post WRUR MERLIMAU: ADUAN RAKYAT SELESAI DALAM 24 JAM
Next post MACAM-MACAM CERITA ADA DI SUNGAI MELAKA