Sorting by

×

WRUR MERLIMAU: ADUAN RAKYAT SELESAI DALAM 24 JAM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MERLIMAU 18 Julai – Kebanyakan aduan yang diterima sepanjang pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sepanjang seminggu WRUR berlangsung, kira-kira 100 aduan diterima daripada penduduk melibatkan 10 kampung yang dilawati.

Menurutnya, pendekatan turun padang dari kampung ke kampung membolehkan pelbagai isu rakyat dikenal pasti dan diselesaikan dengan lebih pantas.

“Konsep WRUR kali ini berbeza kerana kita yang pergi mencari rakyat di setiap kampung, bukan mereka datang bertemu kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Negeri Melaka sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Merlimau di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, di sini, semalam.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, antara aduan berjaya diselesaikan segera seperti longkang tersumbat, pokok menghalang laluan serta beberapa isu penyelenggaraan asas.

“Apabila aduan diterima, kita terus menghubungi agensi berkaitan dan tindakan dapat diambil dengan segera. Rakyat sendiri gembira apabila melihat masalah mereka diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Sepanjang WRUR ini, banyak masalah berjaya kita selesaikan dan saya percaya ia memberi impak positif kepada penduduk di DUN Merlimau,” katanya.

Dr. Muhamad Akmal turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas inisiatif pelaksanaan WRUR yang berjaya mempercepat penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana mewujudkan satu usaha sangat baik untuk rakyat dan saya berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

478
Kongsi :
Previous post RM750,000 PENUHI KEPERLUAN RAKYAT DALAM 5 SIRI JELAJAH KETUA MENTERI
Next post ‘TAK SANGKA KETUA MENTERI SENDIRI DATANG RUMAH BANTU SAYA’