
HEBAT: DATANG BAWA ADUAN, PULANG DENGAN JAWAPAN DAN PENYELESAIAN
MERLIMAU 18 Julai – Peluang bertemu secara bersemuka dengan pemimpin dan pegawai Kerajaan Negeri dimanfaatkan penduduk bagi mendapatkan penjelasan serta penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi.
Bagi rakyat, inilah peluang yang dinanti-nantikan untuk bertemu sendiri pemimpin menerusi Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Negeri Melaka sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Merlimau dan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Jasin: Kampung Kita.
Program itu dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta jabatan dan agensi bagi mendengar segala luahan dan permasalahan rakyat.
Bekas pesara polis, Abdul Latif Talib, 62, dari Padang Temu berkata, akhirnya memperoleh penjelasan berhubung isu tanah kurnia miliknya yang berlarutan sejak beberapa tahun selepas dimaklumkan proses pengukuran semula sempadan antara Melaka dan Johor masih dijalankan.
“Saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan akan menunggu keputusan Kerajaan Negeri.
“Selama ini kita hanya dengar cerita orang, tetapi apabila dapat berjumpa sendiri dengan pegawai pada program ini, kita lebih jelas dan yakin akan ada penyelesaian,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program HEBAT di Dewan Datuk Hj Ithnin, di sini, semalam.
Sementara itu, Abdul Rahman Mohd Noor, 62, dari Kampung Sempang, bersyukur apabila aduannya berhubung bumbung rumah rosak akibat ribut mendapat perhatian.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berjanji akan turun padang meninjau sendiri keadaan rumah saya,” katanya yang bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah kedai.
Phua Kim Chong, 66, dari Merlimau Pasir pula, dia memanfaatkan peluang pada program HEBAT untuk mendapatkan penjelasan mengenai permohonan bantuan kebajikan warga emas serta beberapa urusan berkaitan tanah yang telah lama dikemukakan.
“Saya kini lebih faham status permohonan selepas diterangkan sendiri oleh pegawai kerajaan. Pendekatan seperti ini memang memudahkan rakyat kerana kami boleh mendapatkan penjelasan secara terus tanpa terus tertanya-tanya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


