Sorting by

×

RM10,000, MOTOSIKAL MENANTI KAKI PANCING DI SUNGAI MELAKA

Masa Membaca:56 Saat

DUYONG 18 Julai – Hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 menanti kaki pancing di Sungai Melaka, esok, bersempena Festival Sungai dan Pantai Melaka 2026.

Juara pertandingan memancing anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu bakal membawa pulang RM10,000, selain hadiah wang tunai hingga tempat ke-80.

Bukan itu sahaja, sebanyak 100 cabutan bertuah turut menanti peserta, termasuklah sebuah motosikal elektrik.

Dengan yuran penyertaan hanya RM35, 100 peserta terawal turut menerima kemeja-T eksklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, dianggar lebih 1,000 kaki pancing bakal membanjiri tepian Sungai Melaka sempena pertandingan memancing yang diadakan setiap tahun ini.

“Jika tahun lepas kita merekodkan 800 peserta, tahun ini kita sasarkan penyertaan melebihi jumlah itu berdasarkan sambutan hebat yang diterima secara dalam talian.

“Malah, dengan pelbagai hadiah menarik secara keseluruhan bernilai RM30,000 juga menjadi penarik pada pertandingan memancing tahun ini,” katanya ketika bersiaran di Podcast Festival Sungai Melaka 2026 di Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Difahamkan, antara ikan sasaran peserta di Sungai Melaka adalah seperti tilapia, ketutu, keli, haruan, bandaraya dan bulan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

538
Kongsi :
Previous post HEBAT: DATANG BAWA ADUAN, PULANG DENGAN JAWAPAN DAN PENYELESAIAN
Next post MELAKA BINA BANDARAYA SELAMAT, BERDAYA TAHAN