Sorting by

×

MELAKA BINA BANDARAYA SELAMAT, BERDAYA TAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 18 Julai – Setiap kemalangan di tempat kerja lazimnya tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya bermula daripada risiko kecil yang tidak diambil tindakan lebih awal.

Justeru, penganjuran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dilihat sebagai pendekatan penting bagi memupuk budaya keselamatan dalam kalangan warga kerja serta komuniti di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai program dan aktiviti dianjurkan sepanjang sambutan berkenaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Saya kagum kerana sambutan ini tidak terhad kepada ceramah atau pameran semata-mata. Sebaliknya membawa pelbagai pengisian seperti program KKP Run & Walk, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pelbagai aktiviti interaktif telah membawa mesej keselamatan dan kesihatan lebih dekat kepada keluarga dan komuniti.

“Tujuh pameran dan reruai daripada pelbagai agensi turut memberikan pendedahan mengenai penjagaan kesihatan, keselamatan kebakaran, tindakan kecemasan serta kesejahteraan kewangan.

“Saya berpandangan, pendekatan seperti ini penting kerana budaya keselamatan perlu dipupuk sejak kecil, diamalkan dalam keluarga dan diteruskan di tempat kerja. Apabila masyarakat memahami risiko dan tahu cara bertindak, kita sedang membina sebuah bandar raya yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat MBMB di Dataran Bandaraya MBMB, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka, Ramesh Zakir Shamsul; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Pada majlis perasmian itu, turut diadakan penyerahan jaket keselamatan kepada Pasukan Bomba Komuniti MBMB, Penyampaian Sijil Penghargaan Amalan Baik KKP kepada Kontraktor MBMB serta pelancaran Garis Panduan ERP Offsite MBMB sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post RM10,000, MOTOSIKAL MENANTI KAKI PANCING DI SUNGAI MELAKA
Next post SUKAN JADI TRADISI BAHARU SATUKAN KELUARGA BESAR MELAKA – KM