Sorting by

×

PROJEK BERNILAI LEBIH RM243 JUTA RANCAKKAN PEMBANGUNAN PARLIMEN JASIN

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

MERLIMAU 18 Julai – Sebanyak 11 projek pembangunan bernilai RM243.69 juta sedang dan akan dilaksanakan dalam Parlimen Jasin di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sebagai usaha berterusan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memperkukuh pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan di Parlimen Jasin terus dipacu seiring keperluan penduduk.

“Daripada jumlah keseluruhan, dua projek jalan utama sedang digerakkan iaitu pembinaan jalan baharu dari Persimpangan Rim ke Kampung Ulu Jasin bernilai RM60.71 juta, selain pembinaan jalan dari Pekan Merlimau Utara ke Merlimau Pasir, Batu Gajah yang melibatkan peruntukan RM50 juta.

“Dalam sektor kesihatan pula, kerajaan sedang membina Klinik Kesihatan Sungai Rambai Jenis Tiga dengan kos RM43.32 juta, manakala Klinik Kesihatan Simpang Bekoh dibangunkan dengan peruntukan RM31.55 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Jasin: Kampung Kita DUN Merlimau di Dataran Orang Kampung, di sini semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, penekanan terhadap usaha memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan terus dilaksanakan menerusi Fasiliti Komuniti DUN Serkam yang menghimpunkan Pusat Rehabilitasi dan Gimnasium serta Perkhidmatan Lokar Ubat bagi mendekatkan kemudahan kesihatan kepada penduduk setempat.

Katanya, bidang pendidikan pula diperkukuh menerusi pembinaan bangunan tambahan mengandungi 18 bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Merbau dengan peruntukan RM37.41 juta.

“Pelaksanaan projek-projek ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien, responsif dan mesra rakyat.

“Kita juga mahu memastikan setiap keperluan yang memberi manfaat kepada masyarakat terus diperjuangkan sehingga dapat direalisasikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

413
Kongsi :
Previous post WRUR SELESAI 70 PERATUS DARIPADA 4,000 ADUAN RAKYAT DI 22 DUN – KM
Next post RM750,000 PENUHI KEPERLUAN RAKYAT DALAM 5 SIRI JELAJAH KETUA MENTERI