
WRUR SELESAI 70 PERATUS DARIPADA 4,000 ADUAN RAKYAT DI 22 DUN – KM
MERLIMAU 19 Julai – Sebanyak 70 peratus daripada 4,000 aduan yang diterima menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) berjaya diselesaikan sejak inisiatif itu dilaksanakan tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai isu rakyat berjaya ditangani melalui program berkenaan termasuk membabitkan jalan raya, perumahan, tanah perkuburan, gerai makan, urusan tanah serta perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pelbagai lagi.
Katanya, WRUR diwujudkan sebagai platform bagi memastikan setiap permasalahan rakyat dapat diselesaikan secara terus melalui kerjasama semua jabatan dan agensi kerajaan.
“Program WRUR telah berjalan di 22 DUN sejak dua tahun lalu dan kita menerima kira-kira 4,000 aduan rakyat.
“Alhamdulillah, sebanyak 70 peratus daripada aduan tersebut telah berjaya diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Jasin: Kampung Kita DUN Merlimau di Dataran Orang Kampung, di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pelaksanaan WRUR bukanlah program bermusim atau menjelang pilihan raya, sebaliknya telah dilaksanakan secara konsisten sebagai pendekatan Kerajaan Negeri mendekati rakyat.
“Kita laksanakan tempoh pelaksanaan WRUR di setiap kawasan daripada dua minggu kepada seminggu bagi membolehkan lebih banyak DUN menerima manfaat program tersebut dalam tempoh yang lebih singkat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

