
SUKAN, PELANCONGAN SEMARAK FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026
AYER KEROH 21 Julai – Lebih 100 pemain golf dari dalam dan luar Melaka memeriahkan Kejohanan Golf Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) 2026 yang dianjurkan bersempena Festival Sungai Melaka 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, kejohanan itu merupakan antara pengisian festival bagi mempelbagaikan aktiviti selain menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan berkenaan turut menjadi platform untuk menggabungkan elemen sukan dan pelancongan dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri.
“Selain mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan, kejohanan golf ini turut membuka ruang kepada peserta mengenali produk pelancongan yang dibangunkan PPSPM.
“Setiap peserta yang menyertai kejohanan ini turut menerima baucar Eco Cruise Sungai Linggi sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan produk pelancongan tersebut kepada pemain golf dari dalam dan luar Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Kejohanan Golf PPSPM 2026 yang berlangsung di sebuah kelab golf, di sini, baru-baru ini.
Kejohanan itu turut diserikan dengan kehadiran Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta kenamaan lain.
Pada kejohanan itu, PPSPM menawarkan hadiah utama hole-in-one berupa sebuah bot fiber lengkap dengan enjin kepada peserta yang berjaya melakukan pukulan sempurna.
Bagaimanapun, hadiah utama itu tidak dimenangi selepas tiada peserta berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan.
Menurut Shaharul Azuar, hadiah berkenaan akan dibawa ke Kejohanan Golf Terbuka PPSPM sempena Festival Sungai dan Pantai Melaka tahun hadapan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain merebut ganjaran istimewa itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


