Sorting by

×

KITA TIDAK AKAN BERHENTI MENDENGAR, TERUS BERDIRI BERSAMA RAKYAT – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Julai – Kerajaan Negeri memberi jaminan akan terus memastikan agenda kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan, selaras dengan semangat gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setiap perkara yang disuarakan rakyat akan diberikan perhatian sewajarnya dengan tindakan segera bagi isu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat, manakala perkara yang memerlukan penelitian akan diperhalusi.

Malah, menurutnya, bagi memastikan setiap isu dan permasalahan itu didengari secara menyeluruh, pendekatan turun padang turut diperkasakan bagi menyantuni dan mendengar denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.

“Insya-Allah, setiap perkara yang dibawa akan diberi perhatian. Apa yang boleh diselesaikan segera, kita segerakan, manakala perkara yang memerlukan penelitian, kita akan perhalusi.

“Saya tidak menjanjikan bahawa semua masalah dapat diselesaikan dalam sehari. Namun, saya boleh memberikan satu jaminan, selagi amanah ini dipikul dan panji Melaka Sayang Rakyat terus kita junjung, pentadbiran ini tidak akan berhenti setakat mendengar atau sekadar menabur janji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pendekatan turun padang menerusi WRUR dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membolehkan kerajaan memahami denyut nadi rakyat secara lebih dekat selain memastikan setiap isu yang dibangkitkan mendapat tindakan susulan daripada agensi berkaitan.

“Kita akan terus berdiri bersama rakyat dan memastikan tiada seorang pun dibiarkan berjalan sendirian atau tercicir daripada perhatian kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

584
Kongsi :
Previous post 2,000 PENGHUNI KEM TERENDAK DIBANTU, 25,000 GELEN AIR DISALUR
Next post SUKAN, PELANCONGAN SEMARAK FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026