
2,000 PENGHUNI KEM TERENDAK DIBANTU, 25,000 GELEN AIR DISALUR
SUNGAI UDANG 20 Julai – Kebajikan hampir 2,000 anggota tentera bersama keluarga yang terjejas akibat gangguan bekalan air di Kem Terendak mendapat perhatian Kerajaan Negeri apabila sebanyak 25,000 gelen air disalurkan sejak semalam.
Bantuan menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) itu digerakkan sebagai langkah segera bagi memastikan keperluan harian penghuni kem terbabit dapat dipenuhi sementara kerja pembaikan sistem paip sedang dilaksanakan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, gangguan bekalan air berlaku susulan kebocoran paip di hadapan Japerun Sungai Udang yang turut menjejaskan beberapa kawasan sekitar termasuk Bukit Terendak dan Terendak Permai.
Menurut beliau, walaupun bekalan air di kawasan awam telah mula pulih, Kem Terendak masih mengalami gangguan berikutan kerja pembaikan paip yang sedang dijalankan.
“Kita sedia maklum sistem bekalan air di Kem Terendak berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), namun Kerajaan Negeri melalui SAMB tetap komited membantu bagi memastikan keperluan penghuni kem tidak terjejas.
“Sehingga hari ini sebanyak 25,000 gelen air telah dihantar menggunakan 25 buah lori tangki. Bagaimanapun jumlah itu masih belum mencukupi memandangkan hampir 2,000 anggota bersama keluarga menetap di kawasan ini,” katanya selepas menyaksikan penyerahan dua unit tangki air berkapasiti 5,000 liter daripada SAMB kepada Kem Terendak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Memerintah Markas Garison Terendak, Leftenan Kolonel Annuar Kaliman; Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Saleh Jusman serta Jurutera Awam Kanan, Ketua Unit Cawangan Tentera JKR Melaka, Mohd Herzi Che Hussin.
Rais berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan penghantaran bekalan air ke lima sekolah serta kawasan perumahan yang masih terjejas sehingga sistem bekalan kembali stabil.
“Bagi penyelesaian sementara, bekalan tong air biru akan dihantar ke sekolah-sekolah dalam kawasan kem. Saya sendiri akan memastikan perkara ini dilaksanakan, manakala lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan yang memerlukan,” katanya.
Menurut beliau, kerja pembaikan paip oleh SAMB dijangka selesai sekitar jam 8 malam sebelum bekalan air dipulihkan secara berperingkat dalam tempoh satu hingga dua hari.
“Selepas pembaikan selesai, tangki simpanan memerlukan sedikit masa untuk dipenuhi sebelum sistem pam dapat beroperasi semula. Kita menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua hari, insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


