Sorting by

×

RM16.15 JUTA IKHTIAR ATASI BANJIR PANTAI KUNDOR

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

PANTAI KUNDOR 20 Julai – Keresahan sebahagian penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor yang dibelenggu masalah banjir bakal ditangani menerusi pelaksanaan projek mitigasi bernilai RM16.15 juta.

Langkah itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh sistem saliran dan mengurangkan risiko banjir berulang demi kesejahteraan penduduk khususnya di kawasan terjejas.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, beberapa projek telah dan sedang digerakkan membabitkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk kerja-kerja pembersihan sungai dan cadangan menaik taraf infrastruktur saliran.

Menurut beliau, tindakan itu diambil susulan kejadian banjir kilat baru-baru ini yang menjejaskan 73 rumah di beberapa kawasan dalam DUN Pantai Kundor.

“Saya memahami keresahan penduduk yang terkesan akibat banjir kilat baru-baru ini. Justeru, sebagai langkah mitigasi, JPS sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta pengaluran Sungai Seberang Gajah dengan kos RM50,000 dan dijangka siap pada minggu hadapan.

“Pada masa sama, usaha ini tidak terhenti di Sungai Seberang Gajah sahaja. JPS kini dalam proses perolehan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pengaluran Sungai Lereh membabitkan kos RM100,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita DUN Pantai Kundor di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, bagi penyelesaian jangka panjang, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf struktur crossing culvert di Jalan Tangga Batu–Tanjung Minyak dengan anggaran kos RM16 juta.

Katanya, projek itu diyakini mampu meningkatkan kapasiti saliran dan mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan apabila dilaksanakan kelak.

Selain pelaksanaan projek mitigasi, beliau berkata Kerajaan Negeri turut mengambil langkah segera bagi membantu mangsa banjir menerusi pemberian rebat bil air percuma bagi bil Julai 2026 melalui Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Katanya, setiap keluarga yang terjejas juga akan menerima bantuan tunai sebanyak RM300 menerusi Tabung Bencana Negeri dan diminta segera mengemukakan permohonan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah.

“Saya mahu semua agensi dan jabatan yang berkaitan menyegerakan proses semakan dan kelulusan supaya bantuan ini dapat disalurkan kepada mangsa secepat mungkin.

“Inilah makna sebenar Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat. Sayang itu bukan sekadar diucapkan, tetapi diterjemahkan melalui tindakan. Bukan sekadar mendengar keluhan rakyat, tetapi hadir membawa ikhtiar dan penyelesaian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

484
Kongsi :
Previous post JELAJAH KETUA MENTERI BAWA NIKMAT RM150,000 UNTUK WARGA PANTAI KUNDOR
Next post 2,000 PENGHUNI KEM TERENDAK DIBANTU, 25,000 GELEN AIR DISALUR