Sorting by

×

TIDAK DATANG KOSONG, TOK RAUF UKIR SENYUMAN DI WAJAH ANTHONY

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Julai – Selepas bertahun-tahun berdepan cabaran tinggal di rumah pusaka yang uzur, nasib pesakit polio Anthony Lim, 60, akhirnya terbela apabila kediamannya bakal dibaik pulih menerusi peruntukan RM20,000 di bawah Program Melaka Rumahku.

Istimewanya, berita gembira disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

Anthony yang menetap di rumah berkenaan bersama abang dan ibu saudaranya terharu dan sama sekali tidak menyangka akan menerima kunjungan pemimpin nombor satu Melaka dan kedatangan itu membawa sinar baharu untuknya sekeluarga.

“Saya rasa gembira kerana Ketua Menteri datang sendiri ke rumah saya. Bukan datang kosong, tetapi datang membawa berita baik untuk membantu membaiki rumah ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya.

6264880297610514356
ANTHONY memuji pendekatan mesra rakyat oleh Ketua Menteri. Foto Afiq Mustaffa

Menurut warga emas itu, keadaan rumah pusaka itu semakin uzur dengan masalah kebocoran terutama ketika hujan selain beberapa bahagian dinding dan struktur rumah semakin terjejas dimamah anai-anai.

“Kalau hujan, ada bahagian rumah yang bocor. Dinding pun ada yang sudah terbuka dan bahagian atas rumah juga mengalami masalah. Kos untuk membaiki memang tidak mampu kami tanggung sendiri.

“Bila dapat bantuan ini, saya rasa lebih lega dan selepas siap dibaiki nanti, kami boleh tinggal dengan lebih selesa tanpa terlalu risau apabila hujan atau angin kuat,” katanya.

Anthony berkata, kehidupannya berubah sejak diserang polio ketika masih bayi yang menyebabkan pergerakannya terbatas dan terpaksa bergantung harap kepada kerusi roda.

Walaupun berdepan cabaran kesihatan, dia bersyukur kerana masih dapat menjalani kehidupan bersama keluarganya di rumah pusaka berkenaan, selain turut dibantu ramai orang termasuk wakil rakyat dan jiran sekeliling.

Dalam pada itu, Anthony turut menyifatkan pendekatan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat sebagai usaha yang baik kerana membolehkan pemimpin turun sendiri melihat keadaan rakyat, sekali gus mencerminkan sebuah kepimpinan mesra rakyat.

“Ini satu usaha yang sangat baik apabila pemimpin turun dan datang sendiri berjumpa rakyat. Bukan hanya jumpa di majlis, tetapi datang ke rumah dan dengar sendiri masalah rakyat.

“Malah, menerusi kunjungan ini, saya dapat memohon penebangan pokok di hadapan rumah saya dan Ketua Menteri telah menyelesaikan masalah itu dengan segera,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

612
Kongsi :
Previous post SUKAN, PELANCONGAN SEMARAK FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026
Next post NELAYAN PANTAI KUNDOR LEGA, ADA SINAR KEMBALI KE LAUT