Sorting by

×

NELAYAN PANTAI KUNDOR LEGA, ADA SINAR KEMBALI KE LAUT

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PANTAI KUNDOR 21 Julai – Kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyantuni komuniti nelayan di Pantai Kundor memberi sinar baharu kepada mereka yang sekian lama berdepan cabaran untuk turun ke laut mencari rezeki.

Bagi nelayan, Nashaludin Othman, 57, kunjungan itu bukan sekadar penyampaian bantuan, sebaliknya tanda kesungguhan Kerajaan Negeri mendengar sendiri permasalahan yang membelenggu golongan nelayan di kawasan berkenaan.

Bapa kepada lima anak itu berkata, hasil laut menjadi sumber utama pendapatan keluarganya sejak lebih 20 tahun lalu, manakala isterinya pula merupakan suri rumah sepenuh masa.

Menurutnya, antara cabaran utama yang dihadapi ketika ini ialah laluan keluar masuk bot yang terjejas akibat mendapan pasir pantai sehingga menyukarkan nelayan untuk turun ke laut.

“Saya sangat bersyukur dan gembira apabila Ketua Menteri datang sendiri memberi sumbangan serta sanggup turun padang berjumpa nelayan untuk mendengar masalah kami.

“Masalah utama sekarang ialah kami sukar hendak keluar ke laut kerana laluan terhalang pasir pantai. Ketua Menteri memaklumkan akan membantu dan kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada sesi ramah mesra bersama nelayan Pantai Kundor sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Pantai Kundor di Balai Nelayan Lereh, di sini, pada Isnin.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Aznan Abdullah, 63, berkata perhatian yang diberikan Ketua Menteri memberi harapan kepada komuniti nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.

Katanya, beliau yang mula menjadi nelayan sejak berusia 13 tahun masih meneruskan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan utama selepas kehilangan isteri.

“Apabila Ketua Menteri datang, sekurang-kurangnya perkara yang kami hadapi dapat disuarakan secara terus dan didengari.

“Ini punca rezeki kami sebagai nelayan. Kami berharap penyelesaian dapat dilakukan segera supaya kami dapat kembali mencari rezeki seperti biasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

573
Kongsi :
Previous post TIDAK DATANG KOSONG, TOK RAUF UKIR SENYUMAN DI WAJAH ANTHONY
Next post KOMPLEKS BAHARU MMC PERKUKUH MELAKA SEBAGAI HAB PELANCONGAN KESIHATAN